Siapa Perdana Menteri Malaysia selepas Muhyiddin?

Anonymous
0

 


UMPAMA telur di hujung tanduk, begitulah gambaran terkini survival politik Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 1 Mac 2020.


Penarikan sokongan 15 ahli Parlimen UMNO pada minggu lalu menyebabkan kerajaan Muhyiddin yang sering dirujuk sebagai Abah kini menunggu rebah.


Selepas tujuh tawaran mega sebagai tanda kerjasama bipartisan mendapat sambutan dingin blok pembangkang, Muhyiddin perlu mencari 'keajaiban' untuk mengelak beliau mengucapkan selamat tinggal kepada Putrajaya.


Namun dengan beberapa pegawai menteri mengakui sudahpun mengemas pejabat masing-masing, cahaya keajaiban mungkin makin malap.


Persoalannya kini siapakah Perdana Menteri selepas Muhyiddin? Adakah 'kira-kira' angka ini akan menemui 'jalan mati' kerana baik Muhyiddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahahir Mohamed atau Datuk Seri Zahid Hamidi tidak mempunyai majoriti mudah.


Jika jalan terakhir adalah memilih PM Interim, siapa yang paling layak menjawat jawatan itu? Adakah PM Interim akan kembali menjadi milik Muhyiddin atau dipikul pemimpin otai seperti Tun Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah atau Datuk Seri Najib Tun Razak?


Otai UMNO ganti Abah?


Penolong Profesor Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berpendapat, kemungkinan pembentukan jajaran politik baharu tidak boleh diketepikan.


"Secara kasarnya, tiada koalisi yang mempunyai majoriti, namun UMNO mungkin boleh menjadi pemain utama. Parti itu mungkin boleh meletakkan diri sebagai parti terbesar dalam koalisi PN dan mengetuainya namun kemungkinan Bersatu untuk tidak menyetujui perkara itu juga adalah besar.


"Atau UMNO boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk koalisi baru namun fraksi kluster menteri mungkin tidak bersetuju," ujar Tunku Mohar kepada Sinar Premium.


Katanya lagi, dengan rekod UMNO yang 'tidak setia' dalam koalisi adalah agak berisiko untuk membentuk satu koalisi dengan parti tersebut.


"Atau alternatif lain, PH boleh cuba membentuk koalisi dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) namun buat masa ini GPS nampak cenderung mempertahankan PN," kata beliau yang turut mengakui banyak kemungkinan boleh berlaku.


Ditanya potensi tiga pemimpin 'otai' UMNO termasuk mantan Presiden, Najib, penyandang Presiden, Zahidi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikan Abah, Tunku Mohar berkata, masih tidak dapat dipastikan siapa yang boleh mendapat kepercayaan majoriti.


"Antara ketiga-tiga tokoh tersebut, yang paling menyerlah pada pendapat saya adalah Najib. Jika tidak terpalit skaandal 1Malaysia Development Berhad (IMDB) atau yang berkaitan, beliau mempunyai ketokohan untuk memimpin negara.


"Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO secara tradisinya mempunyai kelebihan kerana jawatan partinya, tetapi mungkin tidak disokong oleh kluster menteri yang masih memegang jawatan dalam kerajaan PN.


"Ismail Sabri pula mempunyai kedudukan dalam kerajaan tetapi mungkin dilihat sebagai seorang pemimpin yang membelakangi partinya sendiri," katanya lagi.



Melihat daripada sudut pembangkang, Anwar sememangnya calon koalisi PH untuk menjadi perdana menteri sekali gus cuba menamatkan sumpahan 'PM Tepi' selama lebih dua dekad.


Jelas Tunku Mohar, bagi merealisasikan impian tersebut Anwar perlu mempunyai sokongan mencukupi daripada koalisi yang jitu.


"Koalisi yang lebih stabil adalah mungkin dengan GPS dan Parti Warisan Sabah (Warisan), namun masalahnya GPS tidak berkenan dengan DAP. Tetapi sekali lagi, terdapat banyak kemungkinan yang boleh berlaku dalam politik," katanya.


Bercakap soal pemimpin muda yang turut disebut-sebut sebagai calon perdana menteri, Tunku Mohar berkata, hakikat politik Malaysia pemimpinnya adalah mereka yang telah lama berada dalam arena politik.


"Mungkin negara belum bersedia untuk menerima pemimpin muda. Namun kita tidak ketandusan pemimpin muda yang berpotensi.


"Antara mereka adalah ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


"Di antara mereka, Nik Nazmi lebih berpengalaman dan mempunyai idea dan wawasan yang lebih jelas. Selain mereka, ada dua lagi pemimpin yang bukan ahli Parlimen tetapi berpotensi sebagai pemimpin masa depan iaitu Rafizi Ramli dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan," ujarnya.


Muhyiddin PM minoriti?


Dalam pada itu, Tunku Mohar turut mengingatkan ada kemungkinan Abah boleh kekal sebagai perdana menteri atau lebih tepat lagi perdana menteri minoriti.


Situasi perdana menteri minoriti berlaku apabila tiada siapa memiliki majoriti dan pilihan raya tidak dapat diadakan contoh disebabkan pandemik seperti sekarang maka boleh dilantik seseorang dalam kalangan ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri.


"Kebiasaannya, perdana menteri minoriti adalah seseorang yang mendapat sokongan terbanyak (tetapi tidak cukup untuk menjadi majoriti) bagi menjadi perdana menteri.


"Sebagai perdana menteri minoriti, beliau hendaklah mendapatkan sokongan dari ahli-ahli Parlimen parti-parti lain untuk menyokong dasar dan apa jua rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen.


"Dalam keadaan sebegini, dasar dan rang undang-undang yang dibentangkan bukanlah menggambarkan keputusan parti atau koalisinya sahaja tetapi juga parti-parti di luar kerajaan," katanya.


Kemungkinan PM Interim


Bagi Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Pengajian Kerajaan Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, kerajaan dan perdana menteri interim diperlukan bagi meneruskan urusan pentadbiran negara sekiranya kerajaan Abah rebah.


"Sekiranya itu berlaku, Muhyiddin mempunyai dua opsyen iaitu mencadangkan penubuhan kerajaan baharu atau mencadangkan pilihan raya diadakan, namun opsyen tersebut bukanlah yang terbaik buat waktu ini," kata Ahmad Martadha.


Ujarnya, bagi memastikan jentera pentadbiran dan dasar-dasar yang telah diluluskan dapat terus dilaksanakan dengan lancar negara memerlukan kerajaan interim. Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda boleh melantik mana-mana ahli Parlimen yang dirasakan sesuai sebagai perdana menteri interim.


"Sebagai contoh, Tun Mahathir pernah dilantik perdana menteri interim (setelah meletak jawatan) sehinggalah kerajaan baharu dapat dibentuk," katanya lagi.




Beliau berpandangan, senario pelantikan perdana menteri interim ini bakal berulang jika Abah kehilangan sokongan majoriti kelak berikutan situasi semasa menunjukkan sama ada jajaran PN atau PH sukar memiliki jumlah majoriti bagi membentuk kerajaan.


"Banyak masa akan terbuang dalam menentukan pihak mana yang memiliki majoriti. Sebaiknya diadakan kerajaan dan perdana menteri interim," katanya lagi.


Menurut beliau, penyandang jawatan timbalan perdana menteri, Ismail Sabri merupakan calon paling sesuai menggalas tugas perdana menteri interim.


"Berdasarkan hirarki dalam pentadbiran, beliau sangat memahami selok belok pentadbiran kerajaan dan ini dapat membantu kelancaran pelaksanaan dasar-dasar yang telah diluluskan sebelum ini," katanya.


Sumber : Sinar Harian

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)