Header Ads

Dua beradik terkejut rupanya mereka berkongsi suami selama lebih 10 tahun

Penafian : Gambar yang digunakan dalam artikel ini hanya sekadar hiasan semata-mata

ALOR SETAR – Seorang wanita tidak menyangka masih bermadu dengan kakak kandungnya sendiri selama lebih 10 tahun selepas ditipu bulat-bulat oleh suami yang kononnya telah menceraikan isteri pertama untuk menghalalkan hubungan mereka.

Lelaki hidung belang terbabit licik apabila mengambil kesempatan di sebalik keretakan hubungan dalam keluarga dua beradik perempuan itu sehingga mereka tidak lagi bersua muka.

Mendedahkan perkara itu, peguam syarie, Noor Syaheedatul Aishah berkata, kes tersebut difailkan seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang memiliki tiga orang anak dari sebuah daerah di negeri ini melalui pihaknya, dua tahun lalu.

Menurutnya, wanita terbabit meragui statusnya sebagai isteri yang sah selepas mengetahui suaminya berusia 60-an dan kakak berumur 50-an sebenarnya tidak pernah bercerai..

“Rahsia itu terbongkar selepas lebih 10 tahun berkahwin menyebabkan wanita itu memohon faraq nikah atas alasan berlakunya perbuatan menghimpunkan dua saudara perempuan dalam satu tempoh perkahwinan.

“Kes ini didengar dan diputuskan di bawah Seksyen 13(3)(b)(i) Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Kedah 2008 dibaca bersama Sesyen 18(2)(b) enakmen yang sama,” katanya daripada Tetuan Syaheedah Aishah and Associates ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, semasa prosiding di mahkamah, lelaki terbabit hadir bersama isteri pertama dan dia mengakui tidak pernah melafazkan cerai dan mendaftarkan perceraian di mana-mana pejabat agama Islam di negara ini.

“Mahkamah seterusnya memutuskan perkahwinan mereka (dengan isteri kedua) tidak sah dan mengarahkan pernikahan pasangan tersebut dibubarkan serta-merta.

“Status tiga anak yang berusia antara empat hingga 10 tahun pula kini masih dalam proses pengesahan nasab,” ujarnya.

Noor Syaheedatul berkata, perbuatan berkahwin dengan dua beradik perempuan sama ada dalam aqad yang sama atau aqad berlainan adalah haram dan sekiranya aqad berbeza, maka aqad kedua adalah batal.

Berkongsi tentang kes itu, jelasnya, wanita terbabit mendakwa lelaki itu pada mulanya menyuarakan hasrat untuk memperisterikannya ketika dia baru berusia 19 tahun.

“Pada masa itu, lelaki terbabit yang juga abang iparnya mendakwa telah bercerai dengan kakak kandung wanita tersebut dan ingin mengahwininya.

“Dia bersetuju, namun keluarga tidak merestui menyebabkan mereka membuat keputusan bernikah di Thailand,” ujarnya.

Menurutnya, wanita berkenaan mendakwa, hubungan kakaknya dengan keluarga juga sudah lama renggang dan terputus hubungan dalam tempoh lama kerana perselisihan faham.

“Disebabkan isu itu, lelaki terbabit dikatakan mengambil kesempatan dengan mengahwini adik iparnya sendiri dengan memperdaya bahawa dia telah bercerai dengan kakak,” ujarnya.

Katanya, dia hanya mengetahui tentang rahsia tersebut selepas 10 tahun melayari perkahwinan.

“Rahsia itu terbongkar selepas ada pihak memaklumkan suami dan kakak kandung saya masih suami isteri yang sah dan mereka ada tiga anak berusia antara 19 hingga 30 tahun,” ujarnya.

Menurutnya, semasa prosiding di mahkamah, lelaki terbabit yang hanya bekerja kampung didapati tidak pernah melafazkan cerai terhadap kakak kerana tiada bukti atau dokumen berkaitan perceraian tersebut.

“Selain itu, perkahwinan yang berlangsung di Thailand antara adik dengan lelaki itu juga didapati tidak sah kerana menggunakan khidmat nikah Siam yang meragukan,” katanya.

Selain itu ujarnya, kakak kandung wanita terbabit juga mengesyaki suaminya pernah berkahwin dengan beberapa wanita lain sepanjang perkahwinan mereka dan langsung tidak mengesyaki salah seorangnya adalah adik kandungnya sendiri.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Kosmo! Online

No comments:

Powered by Blogger.