Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa dera melibatkan air panas dalam kejadian di Desa Bojongsari, Jampangkulon, di sini.
Mangsa yang dikenali sebagai NS sebelum itu menerima rawatan di RSUD Jampangkulon selepas mengalami kecederaan melecur serius pada beberapa bahagian badan.
Bapanya, Anwar Satibi, pada awalnya dimaklumkan bahawa keadaan anaknya berpunca daripada demam panas. Namun, selepas mendengar sendiri pengakuan mangsa serta melihat kesan melecur pada kaki, belakang badan, tangan dan sekitar bibir, beliau mula mengesyaki berlaku perbuatan khianat.
Mangsa yang dikatakan dipukul dan dipaksa meminum air panas itu bagaimanapun tidak dapat diselamatkan selepas kira-kira lapan jam menerima rawatan.
Bedah siasat yang dijalankan pasukan forensik di Hospital Secapa Sukabumi mendapati terdapat kesan lecur teruk selain pembengkakan pada organ jantung dan paru-paru mangsa. Pihak berkuasa kini menunggu keputusan makmal bagi mengesahkan punca sebenar kematian serta menyiasat lanjut dakwaan penderaan tersebut.
Kes ini mencetuskan kemarahan masyarakat setempat yang menuntut tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya siasatan membuktikan berlaku unsur jenayah.
oleh LIPUTAN7
21 Februari 2026

