Header Ads

Lelaki tampan bukanlah idaman saya, kata Auni Batrisyia

Gadis bertubuh kecil dan bersuara lantang, Auni Batrisyia Mahrose, 24, akui dia seorang yang suka berdikari. Buktinya, pada usia semuda 24 tahun, dia telah menguruskan dan membayar sendiri komitmen bulanan termasuk sewa rumah.

Lebih mesra disapa Batrisyia, gadis yang menghiasi ruangan Pesona Ahad minggu ini menggunakan sepenuhnya hasil pendapatan sebagai Pencipta Kandungan bagi menampung perbelanjaan sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam.

Seorang yang peramah dan suka bercakap, Batrisyia yang bakal bergelar auditor ini sangat meminati warna putih berkongsi kisah hidupnya yang mahu membina jenama fesyen sendiri.

Boleh ceritakan mengenai diri anda?

Anak kedua daripada empat orang adik beradik. Sekarang saya sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat audit di Kuala Lumpur sebagai auditor. Pada masa yang sama, Batrisyia juga merupakan seorang Pencipta Kandungan sejak 2019.

Boleh ceritakan pengalaman menjalani latihan industri di syarikat audit?

Saya memang suka bermain dengan nombor. Saya banyak menghabiskan masa di pejabat pelanggan. Syukur, klien-klien yang berurusan dengan saya sentiasa memudahkan urusan.

Auditor seringkali dikaitkan dengan kerjaya yang membosankan. Betulkah?

Kerjaya sebagai auditor sebenarnya lebih mencabar daripada membosankan. Setiap hari kita akan belajar benda baharu kerana setiap syarikat yang kita audit mempunyai transaksi yang berbeza. Jadi sebagai auditor, saya harus memastikan setiap transaksi yang dibuat adalah betul dan tiada unsur penipuan.

Keunikan Batrisyia yang tidak diketahui orang lain?

Saya panik dan susah untuk bernafas kalau tidur di dalam bilik yang tiada lampu atau sebarang cahaya. Setiap kali tidur, saya akan pastikan bilik saya ada sedikit pencahayaan.

Ciri-ciri lelaki idaman?

Saya tidak meletakkan sebarang ciri kerana lebih suka melihat usaha lelaki itu berbanding ciri-ciri fizikal yang ada pada dirinya. Saya sentiasa berpegang dengan pepatah ‘action speak louder than words’.

Antara kejayaan terbesar dalam hidup Batrisyia?

Kejayaan terbesar yang telah saya capai diusia 24 tahun ini, saya berjaya menjadi seorang yang berdikari tanpa membebankan kedua-dua ibu bapa. Saya sangat bangga dengan diri saya kerana dapat membayar segala komitmen tanpa bantuan orang lain.

Umur yang sesuai untuk menamatkan zaman bujang?

Secara peribadi, perancangan saya untuk berkahwin mungkin pada usia 30-an. Saya harus mempunyai aset dahulu sebelum kahwin. Risau nanti bila sudah kahwin saya tidak dapat mengejar impian saya.

Sasaran masa hadapan?

Saya memasang niat untuk membuka satu jenama fesyen memandangkan kebanyakan pengikut saya suka melihat apa yang saya pakai dan apa yang saya beli. Namun, saya harus mengikuti kelas perniagaan terlebih dahulu sebelum membina empayar sendiri. Saya memerlukan ilmu yang banyak kerana masih ‘mentah’ dalam dunia perniagaan.

Pesanan untuk wanita yang berdikari?

Selepas dua tahun berkurung dalam rumah ekoran pandemik C0vid-19, ia membuatkan saya semakin takut untuk keluar berseorangan. Saya ada tips buat wanita di luar sana, sentiasa meletakkan kit keselamatan di dalam bag tangan untuk menjaga keselamatan diri apabila berseorangan.

Apa pandangan Batrisyia tentang taraf ekonomi yang semakin tinggi?

Orang yang susah makin susah, orang yang senang makin senang. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan mengumumkan pengecualian subsidi dan rakyat terpaksa bekerja keras untuk meneruskan kehidupan harian.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Kosmo! Online

No comments:

Powered by Blogger.