Superbike harga kayangan boleh beli, tapi tak ada lesen!

encik gotenks
0

Tindakan dua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menunggang kenderaan itu tanpa lesen membawa padah apabila mereka disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang ketika Op Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha, malam tadi.

Dalam operasi bermula kira-kira 8 malam itu, penunggang masing-masing berusia 20-an dan 30-an ditahan untuk pemeriksaan sebelum mendapati mereka berdua tidak mempunyai lesen memandu.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, beliau kecewa dengan tindakan dua penunggang motosikal berkenaan yang seperti tiada perasaan bersalah apabila menunggang tanpa lesen padahal mampu membeli kenderaan itu yang berharga puluhan ribu ringgit.

"Apabila disoal siasat, penunggang berusia 20-an memaklumkan dia menunggang motosikal berkenaan dari Kuala Ketil, Kedah untuk pergi ke tempat kerjanya di bahagian Pulau, negeri ini.

"Penunggang berusia 30-an menunggang motosikalnya dari Sungai Petani untuk membawa isterinya menikmati juadah makanan.

"Lebih mengecewakan mereka bukan sahaja tidak memiliki lesen kelas B bagi mengendalikan motosikal berkuasa tinggi, bahkan tidak mempunyai lesen kelas B2 dan D yang ini menunjukkan mereka tidak kisah langsung kepada undang-undang ," katanya pada sidang media selepas mengadakan operasi berkenaan di Jambatan Pulau Pinang, di sini, hari ini.

‌Jelasnya, setiap kali operasi membabitkan motosikal, pihaknya kerap mengesan kesalahan menunggang tanpa lesen yang kebanyakan penunggang bergerak secara berkumpulan bagi mengaburi mata penguat kuasa.

"Kita dapati penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen memandu akan bergerak secara konvoi (berkumpulan) untuk elak diri mereka ditahan.

"Mengapa susah sangat untuk buat lesen memandu hingga sanggup bayar saman sedangkan ia satu tindakan yang merugikan kerana membabitkan keselamatan diri?" katanya.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, sepanjang operasi yang berlangsung selama empat hari itu, JPJ mengeluarkan 1,005 saman atas pelbagai kesalahan antaranya membabitkan tiada lesen memandu, cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)