Header Ads

Pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara, Stadium Shah Alam akan diroboh?

Bangunan ikonik di Sesyen 13 yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara dan menjadi stadium rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants didakwa akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.

Stadium baharu berkenaan dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300 orang pada satu-satu masa.

Bukan sahaja stadium tersebut akan diroboh, malah seluruh Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang merangkumi beberapa kemudahan seperti Stadium Malawati dan Stadium Mini serta 5,500 ruang letak kereta dikatakan akan dibangunkan secara menyeluruh.

Bagaimanapun, pembangunan semula kompleks tersebut menimbulkan persoalan apabila stadium berkenaan didakwa masih boleh digunakan kerana kerosakan tidak mengganggu struktur asal sehingga memerlukan pembinaan baharu yang bakal menelan belanja lebih RM350 juta.

Utusan Malaysia difahamkan, Stadium Shah Alam hanya memerlukan perbelanjaan sekitar RM50 juta untuk dibaik pulih keseluruhannya yang meliputi pembaikan bumbung serta perabot seperti kerusi penonton, padang dan kelengkapan lain.

Namun, baik pulih itu ditolak sebaliknya cadangan untuk membina stadium baharu diterima serta membangunkan kawasan keseluruhan seluas hampir 80 hektar tersebut sebagai pusat komersial yang mana sebahagian besarnya didakwa akan diberi kepada pemaju swasta.

Justeru, cadangan tersebut dibimbangi wujud pihak cuba mengaut keuntungan dengan menerima habuan jika sebahagian kawasan yang pernah digazetkan sebagai ‘bandar sukan’ oleh kerajaan negeri pada 1970-an diberi laluan untuk pembinaan komersial.

“Satu keputusan dijangka akan dimuktamadkan oleh pihak berkuasa negeri dalam masa terdekat atau selewat-lewatnya pada Ogos. Namun, keputusan awal untuk merobohkan Stadium Shah Alam sudah pun dipersetujui pada awal tahun ini,” kata sumber.

Terdahulu, akhbar ini dalam tinjauannya melaporkan nasib Stadium Shah Alam menjadi tanda tanya apabila bangunan berusia hampir 30 tahun itu kelihatan terbiar dan tiada tanda-tanda kerja baik pulih akan dilakukan walaupun kerajaan sudah beberapa kali membuat pengumumannya sejak 2018.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini memaklumkan pembangunan menyeluruh kompleks sukan di Seksyen 13 itu akan dilaksanakan sejajar dengan tempoh pembinaan Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) oleh Kerajaan Persekutuan pada 2026.

Jelasnya, satu keputusan akan diumumkan pada Julai ini mengenai perincian pelaksanaan pembangunan di stadium tersebut termasuk Stadium Malawati yang terletak dalam kawasan sama.

Kenyataan tersebut dilihat bertentangan dengan perancangan kerajaan negeri yang pernah pernah mengumumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Ogos tahun lalu, stadium yang terletak di Sesyen 13 itu bakal menjadi Bandar Sukan Selangor menjelang 2024.

Malah, pada Oktober tahun lalu, Amirudin memberitahu kerja membaik pulih stadium berkenaan dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan terdapat lebih 10 syarikat swasta pernah menghantar permohonan kepada kerajaan negeri bagi membaiki Stadium Shah Alam berkenaan termasuklah cadangan membangunkan semula kompleks tersebut.

Stadium Shah Alam dengan ketinggian enam tingkat dan separuh berbumbung itu dirasmikan pada Julai 1994 oleh Sultan Selangor kelapan iaitu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menjadi gelanggang kepada pasukan bola sepak Selangor FC.

Stadium berkeluasan 155,000 meter persegi itu mula dibina pada 1990 direka oleh arkitek daripada Hijjaz Kasturi Associates Sdn. Bhd. kos keseluruhan sebanyak RM460 juta.

Ketika itu, pengurusannya diletakkan di bawah syarikat Stadium Shah Alam Sdn Bhd.

Perlawanan pertama di sana adalah ketika kelab Scotland, Dundee United mengikat Selangor FC, 1-1 pada 16 Julai 1994 dalam Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antarabangsa Mitsubishi yang dianjurkan pada 16-23hb Julai 1994

Stadium tersebut juga pernah menjadi lokasi perlawanan-perlawanan penting dalam sukan bola sepak sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa termasuk persahabatan antara Malaysia dengan Chelsea pada Julai 2008 dan Arsenal pada Julai 2011.

Selain perlawanan bola sepak, stadium tersebut juga menjadi lokasi persembahan artis Hollywood, Bon Jovi yang membuat konsert pertamanya di Malaysia pada 4 Mei 1995.

Stadium Shah Alam di awal pembinaanya pernah menjadi yang terbesar di negara ini sebelum Stadium Nasional Bukit Jalil siap dibina pada 1998.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Utusan Online

No comments:

Powered by Blogger.