Saya tak percaya boleh pakai baju saiz S, kata Aishah

0

 


Penyanyi Datuk Aishah, 58, tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila dapat memakai pakaian bersaiz kecil yang sesuai dengan tubuhnya yang kini lebih langsing. 


Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin mengakui, dia terkejut dengan perubahan yang dialaminya selepas berjaya menurunkan berat badan dengan cara sihat. Dia berkata, dia kini lebih selesa dan yakin dengan penampilannya dan boleh memilih pelbagai jenis pakaian yang sebelum ini tidak sesuai untuknya. 


Dia juga menambah bahawa dia bersyukur kerana masih mendapat sokongan daripada peminat-peminatnya yang setia mengikuti perkembangan karier dan kehidupannya.


"Jika dahulu, saya memang tak boleh pakai saiz S, tetapi sekarang saya seolah-olah tak percaya boleh memakainya.


"Saya pergi ke pelbagai kedai mencuba pakaian saiz S kerana mungkin setiap kedai potongan berbeza-beza. Jadi, bila sudah membuat percubaan, memang sah saya boleh pakai saiz kecil.


"Ya betul (kebanyakan baju bersaiz S), baju-baju lama terpaksa disedekahkan kepada orang lain yang lebih memerlukan seperti mangsa banjir.


"Saya juga banyak memberikan kepada kawan-kawan, cuma baju 'show' yang lama masih ada kerana tidak tahu mahu berikan kepada siapa," katanya kepada BH Online.


Pelantun lagu Janji Manismu itu berkata, peluang menyarung pakaian bersaiz S sudah lama dinantikan selain menganggap ia adalah perkara paling menyeronokkan dirinya.


"Kalau dahulu rasa sedih juga bila lihat ada baju cantik, tetapi tak dapat dibeli disebabkan tiada saiz. Perkara ini hanya orang berbadan besar sahaja tahu.


"Tetapi sekarang sudah berbeza dan itulah yang seronok. Ini kerana saya boleh beli baju baharu sebagai hadiah untuk diri sendiri.


"Sekarang dapatlah merasa pakai pelbagai baju, dahulu hanya lalu dan lihat sahaja. Apa yang boleh beli adalah beg tangan dan kasut.


"Saya cuba menyarung baju kebaya sejak beberapa tahun lalu, tetapi hanya sekarang baru boleh pakai. Jadi, itu adalah pencapaian untuk diri sendiri," katanya.


Sumber : BHO

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)