Terkejut Nampak JPJ, Lelaki Sanggup Lari Tinggalkan Tunang

0

 


Seorang lelaki sanggup meninggalkan tunangnya yang terjatuh dari motosikal ketika dia ditahan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang menuju ke pulau malam tadi. 


Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, pada kejadian jam 9.45 malam itu, lelaki yang menunggang motosikal Yamaha LC135 terbabit kemungkinan takut ditahan oleh pihak berkuasa kerana tidak mempunyai lesen atau tiada cukai jalan.

"Lelaki itu mungkin terkejut dan ketika dia membrek, pemboncengnya yang juga wanita terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di tapak tangan.


"Ketika kami mengarahkannya membuat lencongan untuk pemeriksaan lanjut, lelaki itu terus membuat pusingan U dan memecut dengan meninggalkan wanita itu.


"Wanita itu mengakui lelaki berkenaan tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai ke pusat bandar," katanya.'

Dia ditemui media pada Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina malam tadi.



Adenan berkata, wanita berusia 20-an itu tidak ditahan kerana tidak melakukan sebarang kesalahan namun dia menghilangkan diri tidak lama kemudian tanpa sempat diberi rawatan awal.


Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang remaja berusia 19 tahun atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan dia turut menangis serta merayu supaya motosikal Honda Vario miliknya tidak disita.


Katanya, remaja yang bekerja di sebuah premis peminjam wang berlesen itu baru membeli motosikal berkenaan dua bulan lalu dengan bayaran ansuran bulanan RM480.


"Remaja itu kemudiannya dibawa pulang oleh ahli keluarga," katanya.


Operasi yang turut membabitkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu turut menahan dua lelaki warga Indonesia dan Myanmar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain 10 lelaki berusia 20-an hingga 30-an yang didapati positif Methamphetamine serta ganja.



Terdahulu Adenan berkata, 2,043 motosikal diperiksa sepanjang empat hari operasi itu diadakan di lorong motosikal di dua lagi lokasi iaitu Plaza Tol Juru Arah Utara dan Plaza Tol Sungai Dua Selatan dengan 301 kenderaan diambil tindakan membabitkan 473 kesalahan.


"Kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada perlindungan insurans dan mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan JPJ.


"Kita mendapati, kesalahan tiada lesen memandu sangat tinggi mencecah 100 kes dan ini menunjukkan kesedaran penunggang motosikal berhubung perkara itu masih berada pada tahap rendah," katanya.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)