"Anwar perlu segera hentikan politik sempit terhadap Kelantan, Terengganu"

0

 


Tindakan Kerajaan Pusat menyalurkan bantuan banjir kepada rakyat Kelantan dan Terengganu menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri terbabit hanya kerana di bawah pentadbiran pembangkang, disifatkan sebagai amalan politik sempit yang bertentangan dengan reformasi dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini.


Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Zaharul Abdullah, berkata sebagai pemimpin Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri seharusnya perlu 'cakap serupa bikin' membabitkan soal hubungan di antara pusat dan negeri.


"Tindakan ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak menghayati semangat Federalisme. Ia menunjukkan sistem negara kita kekal bersifat 'quasi-federal' iaitu hubungan pusat dan negeri yang tidak seimbang di mana kuasa menumpu kepada Kerajaan Pusat.


"Ya, ia bercanggah...reformasi hubungan Pusat dengan negeri juga sangat tertumpu kepada Sabah dan Sarawak melalui usaha merealisasikan peruntukan serta semangat MA63.



"Keadilan juga perlu diberikan kepada negeri Kelantan dan Terengganu yang lebih ketinggalan dari segi pembangunan," katanya kepada BH, di sini.


Beliau mengulas pendedahan kerajaan negeri Kelantan yang tidak menerima bantuan banjir RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, dilaporkan berkata sebaliknya bantuan banjir itu disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada JPP Kelantan.


Nasib sama dihadapi Kerajaan Terengganu, apabila peruntukan mangsa banjir di negeri itu disalurkan menerusi JPP negeri berkenaan.


Pada masa sama, Zaharul berkata, dalam soal kebajikan masyarakat seperti banjir, ia seharusnya berada di bawah senarai bersama.



Beliau berkata, atas dasar itu Kerajaan Pusat dan negeri perlu bekerjasama, memanfaatkan serta menyelaraskan keupayaan masing-masing untuk menyegerakan bantuan kepada rakyat.


"Kerajaan Pusat juga perlu menyalurkan bantuan pembangunan secara terus kepada kerajaan negeri walaupun berada di bawah pembangkang, bukannya melalui JPP.


"Meskipun penubuhan JPP ada justifikasi, tetapi ia lebih dilihat sebagai alat politik Kerajaan Pusat.


"Mengambil semangat Kerajaan Perpaduan dan Federalisme, peranan JPP perlu dihadkan dan sebahagian besar bantuan pembangunan perlu disalurkan terus kepada kerajaan negeri pembangkang," katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)