Header Ads

Mansuh UPSR, PT3 beri peluang murid minati STEM secara semulajadi, kata Menteri Pendidikan

Pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibuat untuk mendedahkan murid sekolah rendah meminati pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara semulajadi.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pendekatan ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada murid-murid meneroka dan tidak takut kepada subjek sains.

“Kita lihat minat dalam bidang STEM ini semakin hari semakin berkurangan dan jika biarkan perkara ini berlaku sedangkan dunia bersaing pada bidang teknologi tetapi minat murid-murid (di Malaysia) berkurangan.

“Maka kita akan terkebelakang dalam konteks pembangunan khususnya apabila bersaing dalam konteks inovasi dan teknologi. Sebab itu kita lihat pemansuhan UPSR dan PT3 ini dapat mendedahkan murid di peringkat sekolah rendah supaya minat kepada sains secara semula.

“Kita mahu supaya minat mereka datang dan ingin membuat satu eksplorasi yang lebih mendalam bagi membolehkan apabila dia naik ke peringkat sekolah menengah dia tidak takut kepada subjek sains,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) yang bertanyakan bagaimana strategi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menarik minat pelajar menyambung pengajian dalam bidang sains bagi memastikan keperluan pakar di Malaysia tidak terjejas pada masa depan.

Tambahnya, ketika ini kebanyakan murid beranggapan bahawa mata pelajaran sains adalah sukar, sekali gus membuatkan mereka memilih untuk tidak mengikuti bidang berkenaan apabila memasuki peringkat sekolah menengah nanti.

“Sebab itulah, antara pendekatan kita mansuhkan UPSR dan PT3 untuk kita kukuhkan mata pelajaran STEM pada peringkat sekolah rendah lagi supaya apabila mereka memasuki sekolah menengah merekan akan minat bidang sains,” katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Sinar Harian

No comments:

Powered by Blogger.