30 waris Mat Kilau seronok tonton filem moyang mereka

encik gotenks
0

"Pertama sekali saya ucapkan syabas kepada pengarah filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof dan penerbit, Studio Kembara kerana berjaya menghasilkan sebuah naskhah yang baik dan menarik."

Demikian kata waris Mat Kilau dari generasi keenam, Dr Siti Shukhaila Shaharuddin, 45, selepas menonton filem itu bersama hampir 30 waris lain dari generasi kelima hingga ketujuh sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, di sini, malam tadi.

Siti Shukhaila yang hadir bersama tiga anaknya berkata, Mat Kilau adalah filem fiksyen yang berlaku dalam sejarah perjuangan Mat Kilau yang mampu menarik minat anak muda untuk mendalami dan memahami sejarah.

"Anak-anak kecil mungkin belum cukup matang untuk memahami. Namun aksi silat yang dipaparkan mampu menarik minat anak muda. Saya juga menyaksikan beberapa waris Mat Kilau yang begitu terkesan dengan filem ini.

"Apa yang pernah diceritakan oleh nenek moyang, tambahan dengan visual, teknik sinematografi dan lontaran dialog sedikit sebanyak memberikan gambaran perjuangan pada ketika itu," katanya kepada Harian Metro.

Siti Shukhaila yang juga pensyarah bidang Komunikasi Visual di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berharap apa juga isu yang dianggap negatif dalam filem itu tidak disensasikan.

"Sebagai wakil kepada waris keluarga Mat Kilau, saya juga berharap tidak disensasikan dengan isu negatif. Kita tidak boleh mengubah sejarah, tapi kita perlu ambil iktibar, belajar dan berubah menjadi lebih baik.

‌"Daripada pembacaan terdapat pihak yang mempertikaikan jalan cerita filem ini. Bagi saya lupakan saja sebab tidak semua orang akan puas hati. Malah, ada juga keturunan Mat Kilau yang lain berasa tak puas hati. Saya anggap ia remeh dan tak perlu diambil serius. Sebaliknya ambil yang posiitf, tengok apa yang Mat Kilau sudah buat dan perjuangannya," katanya.

Dalam masa sama, Siti Shukhaila berkata, dia baru pergi menonton bukan sebab selepas filem itu tular, tapi mahu menunggu ulasan daripada pakar sejarah berkenaan filem Mat Kilau terlebih dahulu.

"Pertama kali saya mendengar mengenai filem ini daripada keluarga yang pergi menonton dan di media sosial. Saya dapat maklumat juga apabila ada pihak yang bising mengenai perkauman. Jadi, sebelum saya nak pergi tengok saya membaca ulasan daripada pakar sejarah, Datuk Ramlah Adam.

"Saya nak dengar pandangan daripada sejarawan yang sudah menonton filem ini. Menurutnya, filem ini 70 peratus berdasarkan kejadian sebenar dan selebihnya fiksyen. Dari situ rasa terpanggil nak tengok sejarah itu. Nak tahu juga sebab apa ia fenomena dan apa yang menarik berkenaan filem ini.

"Filem inilah yang menggambarkan apa yang berlaku. Bukan saja untuk anak cucu faham perjuanagm Mat Kilau, tapi untuk rakyat Malaysia. Bukan juga kerana kami keturunan Mat Kilau kena datang tengok. Akhirnya, penting rupanya Mat Kilau kerana kita nak tahu apa perjuangannya secara terperinci supaya boleh diceritakan kepada generasi anak dan cucu selepas ini," katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)