Header Ads

10 tahun kadar yuran tidak disemak, pakej belajar memandu bakal naik harga?

PENAFIAN : GAMBAR YANG DIGUNAKAN HANYA SEKADAR HIASAN

Kerajaan diharap mempertimbang kenaikan kadar yuran sekolah memandu di negara ini dalam masa terdekat.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima), Mat Aris Bakar berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk mengemukakan cadangan harga baharu bagi mendapatkan lesen memandu.

Menurutnya, cadangan itu susulan impak kenaikan harga barangan, ditambah sudah hampir 10 tahun kadar yuran tersebut tidak pernah berubah.

“Kita tengah rancang dalam masa terdekat. Sebab sudah hampir 10 tahun harga bayaran (khidmat mengajar memandu) tidak naik. Sedangkan kos lain seperti minyak petrol, alat ganti dan harga kenderaan meningkat.

“Situasi berkenaan menjadikan industri ini semakin tertekan. Justeru, Pima bercadang untuk mengemukakan cadangan harga baharu dalam masa terdekat, tetapi bukan 1 Julai seperti yang ditularkan.

“Bagaimanapun, berapa kadar kenaikan harga tersebut belum diputuskan dan ia masih dalam perbincangan ,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Baru-baru ini, tular di media sosial mendakwa kadar bayaran atau yuran untuk mengambil lesen memandu akan dinaikkan bermula 1 Julai ini.

Mat Aris bagaimanapun menafikan akan berlaku peningkatan harga di institut memandu di Semenanjung Malaysia pada tarikh berkenaan.

“Tidak, sebenarnya ia hanya khabar angin. Apa pun berlaku (kenaikan harga) kena dapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Memang ada (cadangan kenaikan harga), tetapi belum lagi masanya sebab nanti jadi isu pula.

“Saya pun tidak boleh nak komen lebih sebab apa-apa kenaikan harga yang diluluskan oleh JPJ, baru boleh diumumkan dan digunakan. Setakat ini, belum lagi,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa pusat memandu di sekitar Lembah Klang juga menunjukkan tiada berlaku kenaikan yuran bermula 1 Julai nanti seperti yang tular di media sosial.

Dalam pada itu, orang ramai berharap kerajaan menilai semula cadangan kenaikan bayaran belajar memandu agar tidak membebankan rakyat.

Graduan daripada Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Muhammad Izzat Ikhwan Rozlan, 21, berkata, beliau akur andai kerajaan menaikkan harga yuran sekolah memandu.

Bagaimanapun, dia berharap agar kenaikan itu tidak terlalu mendadak hingga membebankan terutama golongan pelajar yang belum mempunyai pendapatan tetap.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang di mana kebanyakan benda naik harga, saya faham jika ada pengusaha institut memandu ingin menaikkan kadar yuran mereka.

“Tetapi, saya harap buatlah dahulu kajian teliti dan menyeluruh tentang peratusan kenaikan yang wajar sebelum melaksanakannya,” katanya.

Seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Hakimi Irfan Hisham, 18, pula berharap agar kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi kepada pelajar dan kumpulan berpendapatan rendah (B40) yang menghadiri kelas memandu.

Katanya, inisiatif tersebut antara langkah terbaik bagi memastikan rakyat memperoleh lesen meskipun berlaku peningkatan harga kelak.

“Lagipun, lesen sama ada motor, kereta atau lori, ia amat penting kepada individu yang menggunakan kenderaan sebagai medium mencari wang bagi kelangsungan hidup.

“Jika tidak ada lesen, sukar untuk kita bergerak dan mencari rezeki,” katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : sinar harian

No comments:

Powered by Blogger.