Pemuda Amanah gesa kerajaan tangguh laksana gaji minimum RM1,500 untuk PMKS

encik gotenks
0

Kategori : viral

Pemuda Amanah gesa kerajaan tangguh laksana gaji minimum RM1,500 untuk PMKS

Editor : KEKASIH GELAPMU

Pemuda Amanah menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar gaji minimum RM1,500 untuk majikan bagi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat Covid-19 selama tempoh 12 bulan.

Pengarah Biro Ekonomi Pemuda Amanah Nasional, Ammar Atan berkata, ramai majikan mengeluh kerana masih dihimpit lonjakan tinggi kos apabila gaji minimum dinaikkan 25% ketika operasi perniagaan belum pulih ke paras pra-pandemik selain menyifatkan keputusan melaksanakan gaji minimum 1 Mei sebagai terburu-buru.

“Rata-rata pemilik perniagaan yang saya temui mengeluh dihimpit kos gaji yang melonjak tinggi apabila gaji minimum dinaikkan 25% ketika operasi perniagaan belum pulih ke paras pra-pandemik.

“Semua industri, termasuk yang mengalami kerugian pada tempoh pandemik, dipaksa membayar gaji lebih tinggi bermula 1 Mei 2022 yang lalu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Amanah hari ini.

Ammar berkata, untuk itu Pemuda Amanah menggesa kerajaan BN-PN supaya memperkenalkan sistem gaji minimum yang adil kepada majikan dan pekerja.

Katanya, majikan yang mengalami isu aliran tunai tidak harus ditekan dengan beban gaji lebih tinggi dan pada masa yang sama pekerja tidak boleh dianaktirikan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mengenakan gaji minimum kepada majikan sektor tertentu yang tidak terjejas semasa wabak Covid-19 seperti perbankan, pembuatan sarung getah, teknologi dan sebagainya.

Katanya, sektor lain yang terjejas akibat wabak itu perlu mengekalkan gaji minimum RM1,200 dengan kerajaan memberi tambahan upah sebanyak RM300 kepada pekerja PMKS dalam bentuk suntikan tunai selama 12 bulan sehingga pertengahan 2023 bagi membolehkan majikan membuat persediaan bagi pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

“Kurang daripada 10% pekerja PMKS atau 730,000 individu dianggarkan bergaji bawah RM1,500. Kalaupun suntikan tunai RM300 diberikan kepada 730,000 individu ini, kos yang perlu ditanggung kerajaan hanyalah RM219 juta sebulan. Manfaat daripada ini sangat besar dan berimpak kepada ekonomi negara,” katanya.

Katanya, dengan penangguhan pelaksanaan gaji minimum bagi sektor PMKS terjejas dan bantuan tunai kepada pekerja ini, majikan akan dapat mengembangkan operasi mereka selain membuat persediaan untuk gaji minimum RM1,500 yang akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang pertengahan 2023.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei dengan perniagaan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dikecualikan.

Bagaimanapun pelaksanaan gaji minimum itu akan berkuat kuasa sepenuhnya menjelang pertengahan 2023.

Sumber Artikel : FMT

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)