Rakyat makin terhimpit, peniaga kata pemborong dan pembekal, KPDNHEP pula kata peniaga...

encik gotenks
0

 


Peniaga ayam segar di Pasar Cabang Tiga, di sini, tidak berpuas hati apabila 11 daripada mereka dikenakan kompaun kerana menjual ayam melebihi harga siling RM8.90 yang ditetapkan.


Tindakan diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menerusi Op Pantau 2022, hari ini.


Peniaga ayam, Mohd Zikri Abd Aziz, 38, dari Bukit Besar, di sini, berkata tindakan sepatutnya diambil terhadap pemborong dan pembekal kerana menjual ayam segar lebih mahal kepada peniaga.


Katanya, tindakan kompaun serta-merta sebanyak RM500 ke atas peniaga disifatkan keterlaluan dan tidak adil.


"Pemborong dan pembekal menjual ayam segar kepada peniaga antara RM8.30 hingga RM8.70 sen sekilogram walaupun kerajaan menetapkan harga di peringkat pemborong RM7.60 sekilogram," katanya.



Peniaga lain Abdul Manan Mohd Amin, 35, berkata pemborong dan pembekal perlu dikenakan tindakan kerana menjual ayam segar melebihi harga borong ditetapkan kerajaan iaitu RM7.60 sekilogram.


"Jika pemborong dan pembekal menjual ayam segar seperti harga ditetapkan, kami bersedia menjual secara runcit mengikut harga maksimum seperti ditetapkan iaitu RM8.90 sen sekilogram.


"Jika kami jual mengikut harga seperti ditetapkan, kami akan menanggung kerugian termasuk upah pekerja dan plastik," katanya.


Sementara itu, Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, seramai 13 peniaga ayam termasuk 11 peniaga di Pasar Cabang Tiga dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.


Katanya, peniaga terbabit bukan sahaja dikesan menjual ayam segar melebihi harga maksimum ditetapkan, sebaliknya turut melakukan kesalahan mengelirukan pengguna.



"Mereka mempamerkan harga maksimum ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram, tetapi menjualnya melebihi harga ditetapkan.


"Peniaga ayam segar juga gagal membuktikan harga yang dibeli daripada pemborong dan pembekal," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan harga di bazar Ramadan di Batu Burok, di sini, hari ini.


Saharuddin berkata, pihaknya meminta peniaga ayam agar tidak melindungi nama pemborong dan pembekal yang didakwa menjual ayam melebihi harga ditetapkan.


"Ketika Ops Pantau diadakan, peniaga tidak dapat membuktikan harga belian ayam daripada pemborong dan pembekal.


"Tindakan dikenakan ke atas peniaga ayam dilakukan selepas KPDNHEP negeri menerima aduan daripada orang ramai yang kecewa dengan harga yang mengelirukan," katanya.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)