Tuah mikrofon peribadi Hael Husaini, suara jadi lebih jelas, kata Elica Paujin

encik gotenks
0

 


Penyanyi Elica Paujin yang dinobatkan juara program Big Stage 2022 tidak menjangka apabila penyanyi Hael Husaini sudi meminjamkan mikrofon peribadi miliknya pada peringkat akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. 


Elica yang tampil berduet dengan Hael menerusi lagu Believer berkata, dia sudah lama mengenali penyanyi itu dan teruja apabila dapat membuat persembahan menggunakan mikrofon itu.


"Terharu sangat apabila dia sudi meminjamkan mikrofon miliknya kepada saya. Saya tahu harga  mikrofon agak mahal dan takut nak pegang. Tapi Hael beri saya kepercayaan untuk menggunakannya pada peringkat akhir Big Stage. 



"Tidak dinafikan, mikrofon itu membantu menjadikan suara saya lebih jelas. Saya sudah lama kenal Hael dan dia sering berkongsi nasihat supaya saya memberikan persembahan yang terbaik," katanya. 


Menurut Elica, melihat kejayaan Hael sebagai  penyanyi dan komposer terkenal, dia tidak menolak untuk bekerjasama dengan Hael pada masa mendatang. 


"Sudah tentulah saya mahukan sebuah lagu ciptaan Hael. 


"Semua sedia maklum dia komposer hebat dan sudah berjaya menang anugerah menerusi lagu ciptaannya sebelum ini," katanya. 



Ditanya mengenai perancangan duit kemenangan RM100,000, Elica berkata, separuh daripada duit itu bakal diberikan kepada keluarganya. 


"Saya sudah berjanji jika menang saya akan beri separuh wang kepada keluarga.


"Selain itu, saya juga sudah berniat untuk adakan satu mini persembahan istimewa buat peminat di Sabah kerana mereka tak dapat datang ke Kuala Lumpur menyaksikan persembahan saya secara langsung. Showcase ini boleh dikatakan sebagai hadiah kepada mereka," katanya.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)