RM20-40 sekilogram, harga mangga harum manis Perlis masih munasabah, kata Raja Muda Perlis

encik gotenks
0

 


Harga jualan mangga harum manis yang dianggap tinggi oleh sebilangan masyarakat di negara ini adalah sebenarnya munasabah terutama pada waktu ini.


Kebiasaannya mangga harum manis di Perlis dijual sekitar RM20 hingga RM40 bagi sekilogram.


Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penjagaan pokok berkenaan amatlah rumit dan sukar menyebabkan buahnya dijual dengan harga tinggi.


"Musim mangga harum manis adalah singkat iaitu antara dua ke tiga bulan sahaja setahun.



"Oleh hal demikian, jika diteliti berdasarkan kaedah serta kos penanamannya, ternyata harga yang dijual adalah munasabah kerana penjagaan pokok ini amatlah rumit dan sukar," titahnya.


Baginda bertitah ketika berkenan berangkat merasmikan majlis pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022 anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis, Pusat Pertanian Bukit Bintang, Jalan Sungai Batu Pahat di sini, hari ini.


Titahnya, para pengusaha juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi ekoran dari masalah kenaikan harga input pertanian yang mendadak berlaku pada masa ini.


"Para pengusaha juga dinasihatkan supaya menguruskan tanaman berdasarkan 'amalan pertanian baik' bagi memastikan kualiti buah mangga harum manis yang terhasil adalah gred premium dan selamat untuk dimakan.



"Selain itu, semua ladang mangga harum manis dipohon agar mendapatkan persijilan MyGAP dari Jabatan Pertanian, di mana ia akan meningkatkan lagi kualiti hasil buah itu selain diiktiraf hasil berkualiti dan selamat.


"Beta juga mengharapkan agar para pengusaha melakukan jualan mangga harum manis dengan penuh jujur," titahnya.


Terdahulu, keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Bahagian Pengembangan yang memangku tugas Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan Malaysia) Johari Abdullah dan Pengarah Pertanian Negeri Perlis Hafizuddin Othman.


Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)