Jangan fikir nak untung aje!, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang beri amaran

encik gotenks
0

 


Bagi mengelak daripada membayar cukai terdapat kilang papan bertindak membeli balak secara tidak sah atau 'ikut pintu belakang' tanpa pas pemindah.


Walaupun mengetahui hukuman berat yang bakal dihadapi sekiranya kegiatan mereka dikesan, namun demi keuntungan berganda pihak terbabit sanggup berbuat apa sahaja.


Usaha mengesan kegiatan salah itu digalas oleh anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang berpengalaman luas dalam membendung kegiatan berkenaan yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan Pahang.


Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, sepanjang tahun ini pihaknya berjaya mengesan empat kes kilang papan menerima balak tanpa pas pemindah.


Menurutnya, empat kes terbabit berlaku di Temerloh membabitkan dua kilang papan di Mentakab diikuti dua lagi kes berlaku di Raub, kilang papan berkenaan memiliki kayu pelbagai spesies dengan ukuran panjang 4.4 meter.


Katanya, pemilik kilang papan mengetahui kesalahan memiliki balak tanpa pas pemindah namun disebabkan keuntungan yang lebih mereka sanggup berhadapan sebarang kemungkinan daripada JPNP.



"Kilang papan membeli balak tanpa pas pemindah dengan harga yang lebih murah berbanding balak yang melalui proses bayaran cukai yang telah ditetapkan kerajaan negeri.


"Beli murah jual mahal, itu yang membolehkan kilang papan bertindak membeli balak tanpa pas pemindah yang dibekalkan oleh pihak tertentu.


"Balak yang dijual tanpa pas pemindah diperoleh daripada tanah milik termasuk juga ada yang dicuri daripada tanah kerajaan dan hutan simpan," katanya di sini, semalam.


Beliau menambah, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa ketika proses menghantar ke kilang papan, balak tanpa pas pemindah di potong pendek kira-kira empat hingga lima meter panjang.


Nor Azirim berkata, rekod JPNP sebelum ini mendapati pelbagai cara digunakan untuk memindahkan balak tanpa pas pemindah, antaranya menggunakan lori mengangkut buah kelapa sawit, lori kontena dan lori penghantaran barangan yang bertutup.


Tambahnya lagi, sindiket didalangi beberapa individu berpengalaman akan bergerak pada waktu malam dan pagi, mereka menggunakan laluan tertentu sambil di awasi oleh pemberi maklumat atau tonto sepanjang perjalanan untuk menghantar balak ke kilang papan.


Katanya, sebelum ini kes memindahkan balak tanpa pas pemindah banyak berlaku namun dengan usaha gigih dilakukan anggota Unit Penguat kuasa JPNP Zon Pahang Timur dan Zon Pahang Barat kegiatan berkenaan berjaya dilumpuhkan secara berperingkat.


"Kebanyakan kayu tanpa pas pemindah digunakan untuk menghasilkan perabot berikutan saiz panjang antara empat hingga lima meter sahaja. Hanya beberapa spesies pokok balak sahaja menjadi buruan pihak melakukan kegiatan berkenaan.



"Kilang papan yang memiliki balak tanpa pas pemindah boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984, Sesyen 68 (1) ,s abit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.


Nor Azirim berkata, kes terkini yang berjaya dikesan pihaknya apabila menemui sebanyak 171 tual balak tanpa pas pemindah dalam kilang papan di Mentakab, kelmarin.


Katanya, hasil maklumat awam sepasukan anggota UPK JPNP Zon Pahang Timur dan kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh menyerbu kilang papan berkenaan dan menemui lima longgok balak antaranya spesies meranti, tualang, sesenduk, kelat, pulai dan kedondong.


Menurutnya, nilai cukai balak berkenaan lebih RM3,000, manakala harga semasa lebih RM21, 000.


"Ini adalah rampasan terbesar berjaya dilakukan membabitkan balak tanpa pas pemindah tahun ini.


"Kita akan berusaha mengesan dari hutan mana balak berkenaan diambil dan individu yang melakukan kegiatan itu," katanya.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)