Umno cadang usul undi percaya terhadap PM bulan ini, kata Ahmad Maslan

Anonymous
0

 


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mencadangkan sesi Dewan Rakyat diadakan pada bulan ini untuk menentukan sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai majoriti atau sebaliknya.


Dia berkata, usul undi percaya harus dilakukan sebelum persidangan penuh Dewan Rakyat pada 6 hingga 30 Sept.


"Pada 6 September yang dijadualkan sidang itu, sidang pembukaan parlimen titah Yang di-Pertuan Agong, apabila baginda titah - usul PM - PM jatuh. Ia tidak sesuai dibuat.


"Yang lebih sesuai, sukacita saya ingin mencadangkan bukan cadangan saya seorang (tetapi juga) cadangan Majlis Kerja Tertinggi Umno - sidang khas lebih awal daripada September untuk mengabsahkan (atau) tidak mengabsahkan kedudukan PM supaya perkara diselesaikan selebih awal sebelum sidang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.


"Jadi masa masa yang sesuai pada 15 Ogos atau pertengahan bulan 8 agar perlu ada lebih kurang dua minggu lebih bagi menentukan PM yang baru," katanya dalam program bual bicara 'Politik Umno Terkini" di halaman Facebook NRChannelTV.


Muhyiddin sebelum ini berkata dia bersedia menghadapi undi percaya pada persidangan September depan.


Saranan Ahmad senada dengan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said, yang menggesa perdana menteri mengadakan sidang khas untuk menentukan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional. Azalina merupakan salah seorang ahli parlimen Umno yang telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.



Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, Agong mempunyai kuasa untuk melantik perdana menteri baru.

Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang perdana menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.


Ahmad juga mengulangi gesaan Majlis Tertinggi Umno sebelum ini bahawa pilihan raya umum (PRU) mesti diadakan setelah imuniti kelompok bagi membendung Covid-19 dicapai.


Ditanya pengacara, Rafi Awg Kechik mengenai strategi Umno, Ahmad menafikan parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.


"Tidak betul sebab dia (Anwar) tak dapat majoriti. Dia hanya ada 105. 105 pun tak mencapai 111. Dan Umno tidak akan sokong dia


"Presiden tidak akan membawa untuk menyokong mereka. Apa yang akan berlaku, itulah strategi yang kita tidak sebut di luar," katanya.


Dalam pada itu, Ahmad berkata Zahid telah bertemu dengan beberapa ahli parlimen daripada parti itu baru-baru ini untuk meyakinkan mereka.



"Presiden bersumpah wallahi, wabillahi, watallahi bahawa saya tidak akan menyokong Anwar Ibrahim untuk jadi perdana menteri dan saya tidak akan bersama dengan PH, DAP di hadapan beberapa ahli parlimen.


"Saya ada ketika itu. Baru sehari dua ini. Jadi tuduhan terhadap beliau itu adalah tuduhan tak berasas," kata Ahmad.


Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata dua lagi ahli parlimen parti itu akan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.


Menerusi hantaran di Facebooknya, Mohd Puad berkata dengan penarikan sokongan dua wakil rakyat itu, Muhyiddin hanya mendapat sokongan 98 sokongan saja.


"Tinggal 100 MP (ahli Parlimen) sahaja yang sokong PM. Ada dua lagi MP Umno dijangka akan menarik sokongan terhadap PM.


"Maka tinggal 98. Tak payah tunggu 6 September untuk usul 'undi percaya'. Cepatkan sahaja sidang khas Parlimen ke bulan Ogos ini.


"Lagi bagus kalau PM letak jawatan segera. Mohon Yang di-Pertuan Agong dilantik 'caretaker prime minister' untuk 6-12 bulan," katanya.

Sumber : MALAYSlAKlNl

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)