Kontroversi saman Siti Nordiana, lima sekawan tidak diwakili peguam

Anonymous
0

 


Lima sekawan iaitu Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman RM2.5 juta oleh penyanyi Siti Nordiana masih tidak diwakili peguam.


Peguam dilantik Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin dalam kenyataan dikeluarkan berkata, semasa pengurusan kes yang dijalankan secara eReview kelmarin, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan pihaknya selaku peguam plaintif iaitu Siti Nordiana untuk memfailkan afidavit penyampaian sebagai bukti serahan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kelima-lima defendan itu.


"Bagaimanapun, kelima-lima defendan terbabit masih tidak diwakili oleh peguam serta tiada kehadiran dan pernyataan pembelaan yang difailkan oleh defendan-defendan setelah writ saman dan pernyataan tuntutan diserahkan kepada kesemua defendan. 


"Sehubungan itu, tarikh akhir untuk kelima-lima defendan memfailkan kehadiran dan pernyataan pembelaan adalah pada 17 Ogos ini.


"Mhkamah selanjutnya menetapkan 23 Ogos ini, pada pada jam 9 pagi sebagai tarikh pengurusan kes (eReview) yang baru dan untuk memaklumkan defendan-defendan mengenai tarikh baru pengurusan kes tersebut," katanya.



Terdahulu, dilaporkan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, 37, memfailkan saman ke atas lima individu itu atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial menerusi sesi siarang langsung di Instagram.


Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan and Associates pada 30 Julai lalu di Mhkamah Sesyen di sini, dan menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, sebagai defendan.


Menerusi pernyataan tuntutan, Nana mendakwa pada 20 Julai lalu kira-kira 11.58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan oleh Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.


Nana turut mendakwa kata-kata fiitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.


"Siaran langsung berdurasi lebih kurang satu jam 28 minit itu telah ditonton oleh pengikut defendan-defendan dan orang ramai yang mengikutinya," menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.



Nana mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun Youtube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.


Plantif mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun Youtube dijangka bertambah dan reputasi beliau telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.


Nana juga mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu, dia melalui peguamnya menyerahkan notis tuntutan bertarikh 26 Julai lalu melalui serahan tangan dan emel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000 namun mereka gagal berbuat demikian.


Sehubungan itu, Nana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.


Tidak terkecuali, Nana turut menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)