"Puteri Sarah Tetap Menantu Kesayangan" - Yusof Haslam dan isteri takkan hadir prosiding lafaz cerai Syamsul terhadap Sarah

0

 



Penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam, 68, dan isterinya Datin Patimah Ismail merasa sedih tetapi pasrah dengan keputusan anak mereka, Syamsul Yusof, untuk bersetuju menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, pada 18 April yang akan datang.


Menurut Yusof, mereka hanya berdoa agar krisis dan konflik yang terjadi antara Syamsul dan Puteri Sarah dapat diselesaikan secara aman dan damai demi kebaikan anak-anak mereka.


"Walaupun sedih, Sarah sendiri ada alasan yang kuat dan dia tetap akan menjadi menantu kesayangan kami. Syamsul pun jangan lupa tanggungjawab terhadap anak-anak.


"Bila sudah jadi bekas isteri, kami harapkan hubungan mereka takkan terus keruh. Semoga mereka berdamai dan terus jalin silaturahim kerana kita pun tidak tahu apa boleh berlaku pada masa hadapan.




"Itu kami serahkan kepada Tuhan namun yang penting biarlah segala krisis dan konflik mereka berakhir. Kalau keruh, nanti jadi tak sihat, jangan ada permusuhan pun," katanya kepada Harian Metro.



Yusof juga menyerahkan segala urusan lafaz cerai pasangan itu pada 18 April ini kepada mereka sepenuhnya. Beliau dan isteri tidak akan hadir ke mahkamah untuk prosiding terbabit.


"Itu keputusan terbaik yang mereka ambil, kami hormat. Kami tak nak pilih kasih dan biarlah berada di tengah-tengah. Apapun, yang penting semoga ia takkan jejaskan hubungan dengan anak-anak," katanya.


Mahkamah Rendah Syariah telah menetapkan tarikh 18 April ini untuk pengarah filem Syamsul melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah. 




Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh tersebut selepas menerima maklumat daripada peguam syarie yang mewakili kedua-dua belah pihak. 


Terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak yang akan dimaklumkan pada tarikh tersebut. Terma penyelesaian yang diliputi antara lain adalah hadanah (hak jagaan anak), nafkah anak, mutaah, nusyuz, dan harta sepencarian. 


Syamsul dan Puteri Sarah telah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.


Sumber : Harian Metro


Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)