Keputusan mahkamah ‘robek’ hati saya, kata ibu lahir anak di luar negara

encik gotenks
0

Beberapa ibu muda Malaysia melahirkan kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan wanita memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara mengikut kuat kuasa undang-undang.

Salah seorangnya berkata, keputusan itu “merobek hati saya”.

Dalam penghakiman 2-1 memihak kepada kerajaan, Mahkamah Rayuan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara dengan ibunya warga Malaysia, boleh dinafikan kewarganegaraan dengan perkataan “bapa” dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan berkaitannya dalam Jadual Kedua adalah “jelas dan dan tidak boleh ditafsirkan” untuk memasukkan “ibu”.

“Keputusan hari ini telah merobek hati saya sebagai seorang wanita dan ibu,” kata Mashithah, seorang ibu warga Malaysia yang terkesan dengan keputusan itu.

Dalam kenyataan akhbar dikeluarkan NGO Family Frontiers, beliau berkata “wanita Malaysia sepatutnya berada pada kedudukan sama dengan lelaki” dan menyoal mengapa kanak-kanak dihukum “hanya kerana mereka tidak dilahirkan di sini”.

Salah seorang responden dalam kes rayuan itu mempersoalkan mengenai “bias terhadap wanita”, dan mengatakan, tafsiran semasa undang-undang dan dasar yang berkaitan telah menyebabkan kesukaran bagi kebanyakan keluarga.

“Ingat, kami rakyat Malaysia dan kami juga berbangga. Kami akan terus berusaha menamatkan diskriminasi ini,” katanya.

September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan bahawa perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu merangkumi ibu.

Beliau berpendapat, ibu berhak memberikan kewarganegaraan melalui pelaksanaan undang-undang dalam semua proses, sama seperti bapa.

Kerajaan, menteri dalam negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merayu keputusan itu.

Dalam keputusan hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Md Said dan Azizah Nawawi berkata, istilah “bapa” dalam Jadual Kedua, Bahagian 11, Perlembagaan Persekutuan bermakna, bapa kandung dan tidak boleh diperluas kepada ibu atau ibu bapa.

Kamaludin dan Azizah, yang menyatakan mereka mengikut prinsip undang-undang dalam keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lepas berkata, ia terpulang kepada Parlimen, bukannya mahkamah untuk meminda Perlembagaan.

Hakim S Nantha Balan, yang membantah keputusan itu berkata, status undang-undang semasa keturunan ibu dibuat seolah-olah lebih rendah tarafnya daripada bapa.

?Presiden Family Frontiers Suriani Kempe berkata, keputusan itu “amat mengecewakan”, sambil menambah bahawa “tafsiran yang menghancurkan Perlembagaan Persekutuan ini mengekalkan diskriminasi jantina”.

“Kami akan merayu keputusan ini di Mahkamah Persekutuan dan percaya kepada sistem keadilan,” katanya.

“Kami berdiri teguh dengan kepercayaan bahawa suatu hari nanti, kerajaan akan melihat kami, wanita Malaysia, sebagaimana kami melihat diri kami, warganegara yang sama, dan bahawa, anak-anak kami mempunyai hak sama untuk menjadi rakyat Malaysia sebagai anak kepada lelaki Malaysia.”

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : FMT

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)