Header Ads

Aman Central mohon maaf kontroversi 'wanita jadian' ketika berlangsungnya Kedah Fashion Week 2022 (KFW22)

Gambar wanita yang tular berpakaian mencolok mata pada Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) di Aman Central baru-baru ini adalah seorang tetamu dan bukannya model yang memperagakan pakaian pada program itu.

Difahamkan lelaki berperwatakan wanita itu merakamkan gambar di bahagian pentas selepas tamat program berkenaan.

Aman Central dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya kesal dengan perkongsian gambar daripada salah seorang tetamu yang hadir yang tidak mencerminkan kod etika pemakaian yang ditetapkan.

"Pihak kami selaku penganjur turut memohon maaf atas sebarang kejadian yang telah menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

"Pihak kami kesal atas segala kesulitan yang berlaku dan akan memastikan etika pemakaian yang ditetapkan di mana-mana majlis di Aman Central akan dipantau dengan lebih ketat selepas ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap penganjur KFW22 termasuk memanggil pihak berkenaan untuk memberi penjelasan selepas menampilkan model dengan pakaian yang mencolok mata.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, hasil semakan, pihak penganjur didapati tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, Aman Central berkata pihaknya sudah mendapatkan kesemua kelulusan oleh pihak berwajib sebelum program dijalankan.

Katanya, program berkenaan adalah acara tahunan di Aman Central dan tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak lain.

"Acara ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama oleh pereka pereka tempatan di mana KFW menjadi sebuah platform rasmi dalam kalangan pereka fesyen.

"Ia dianjurkan setiap tahun bagi mempromosikan pakaian dan jenama-jenama di Aman Central, di samping menampilkan pereka-pereka tempatan tanah air untuk mempromosikan Aman Central," katanya.

Aman Central menjelaskan penganjuran KFW kali ini adalah penampilan semula selepas dua tahun di mana acara dibatalkan pada tahun tahun sebelumnya ketika negara dilanda pandemik.

"Pihak kami sekali lagi memohon maaf atas sebarang kejadian yang telah menyentuh sensitiviti mana-mana pihak," katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.