Polis panggil 30 peserta Himpunan Turun Harga Barang

encik gotenks
0

Polis membuka satu kertas siasatan terhadap Himpunan Turun Harga Barang yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, perhimpunan yang diadakan selama sejam bermula kira-kira jam 2 petang itu tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

"Hasil pemerhatian dilakukan kira-kira 100 individu termasuk mahasiswa dan ahli politik berhimpun sambil memegang plakad bertulis 'potong gaji menteri', 'turun dan Iawan' serta lain-lain.

"Setakat ini seramai 30 individu sudah dikenal pasti dan kesemua mereka akan dipanggil ke Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Sesyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada jam 2 petang tadi, seramai 100 individu menyertai Himpunan Turun Harga Barang di Jalan TAR, bagaimanapun cubaan mereka berarak ke Dataran Merdeka gagal selepas disekat polis.

Perhimpunan berkenaan dipercayai dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini.

Antara pemimpin politik yang hadir ialah Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)