Penerbit Mat Kilau dikatakan gagal patuhi perjanjian, FINAS arah peguam kaji isu syarat kredit

encik gotenks
0

FINAS mengarahkan peguam menyemak isu kegagalan penerbit filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mematuhi perjanjian berhubung syarat kredit atau rujukan penghargaan atas kerjasama agensi itu dalam merealisasikan projek terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata semakan FINAS mendapati penerbit, Studio Kembara Sdn Bhd gagal memberi kredit kepada FINAS dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dalam beberapa medium, seperti termaktub dalam terma perjanjian.

"Mengikut syarat, penerbit perlu memasukkan logo FINAS dalam bahan bercetak yang berkaitan filem berkenaan, namun, perkara ini gagal dilakukan.

"Selain itu, kredit yang diberi dalam filem (rujukan penghargaan yang disiarkan pada penghujung filem) hanya dimasukkan selepas tujuh hari filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ditayangkan di pawagam.

"Ini dengan jelas mengingkari perjanjian yang dipersetujui dan dimeterai dua pihak," katanya kepada BH Online.

Md Nasir berkata, FINAS menyalurkan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM1.5 juta kepada penerbit filem yang dilapor membabitkan kos RM8 juta itu, sebagai usaha membantu Studio Kembara Sdn Bhd merealisasikan projek filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang sebelum ini terbengkalai.

"Selain DKD, FINAS menyalurkan dana pemasaran bernilai RM300,000 dan membenarkan penggunaan studio untuk kerja pasca produksi secara percuma di Studio Mixstage, Kompleks Studio Merdeka bernilai RM180,000," katanya yang akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan, tidak lama lagi.

Md Nasir mendakwa FINAS kesal apabila penerbit filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan tidak bersungguh-sungguh memohon maaf atas pelanggaran syarat perjanjian berhubung senarai kredit atau rujukan penghargaan kepada agensi berkenaan.

"Sebaliknya, penerbit menyalahkan FINAS kerana tidak memaklumkan mengenai hal kredit, sedangkan ini adalah tanggungjawab penerima dana.

"Sekarang, FINAS pula dipersalahkan. Wajarkah menyalahkan FINAS dan saya tidak melihat usaha penerbit membetulkan keadaan," katanya.

Md Nasir turut menafikan laporan sebuah portal mendakwa FINAS tidak menghiraukan fenomena dicetuskan naskhah pecah panggung itu, sebaliknya, amat berbangga dengan pencapaian filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang terus mencatat kutipan tinggi.

Sementara itu, mengulas mengenai lakonan Datuk Adi Putra sebagai pahlawan tersohor, Allahyarham Mat Kilau Iman Rasu, Md Nasir berkata, kajian menyeluruh perlu dibuat terhadap watak membabitkan tokoh terkenal yang mahu ditampilkan dalam filem.

"Karakter, rupa, gaya bertutur dan loghat, berjalan dan silat mesti dikaji. Saya ambil contoh filem Gandhi (terbitan Hollywood) di mana pelakonnya belajar dan hidup seperti watak itu.

"Usaha itu dibuat supaya dia dapat berlakon sebagai Ghandi mengikut apa yang dikenali rakyat India," katanya merujuk lakonan Ben Kingsley sebagai tokoh politik terkemuka India, Mahatma Gandhi dalam filem biografi Hollywood terbitan 1982 itu.

Sementara itu, Md Nasir melalui hantaran di akaun Facebook (FB) mengucapkan tahniah atas kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof dan menganggap fenomena dicetuskan sebagai bukti kekuatan jenama filem tempatan selepas berdepan cabaran pandemik COVID-19.

"Ini membuktikan kekuatan cerita tempatan yang mengambil inspirasi daripada sejarah dan warisan mempunyai potensi besar untuk diangkat ke layar perak serta diterima penonton.

"Lebih membanggakan, filem ini menerima galakan kerajaan menerusi K-KOMM dan FINAS sebagai agensi pelaksana DKD.

"FINAS berharap dengan kebangkitan dan sambutan hebat kepada filem ini akan terus menjana sokongan terhadap tontonan filem filem tempatan.

"Kita juga berharap ia dapat memberi galakan kepada penerbit untuk meningkatkan penghasilan karya berkualiti yang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya yang mula dilantik CEO agensi itu pada 1 November tahun lalu.

Selain Adi, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dibintangi Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As'ari (Yassin).

Tidak ketinggalan, Datuk Rahim Razali, Nam Ron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadapan British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Berita Harian Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)