Lebih 70 peratus lepasan SPM tak mahu sambung belajar, negara berdepan risiko tiada pekerja profesional

encik gotenks
0

Penafian : Gambar yang digunakan dalam artikel ini hanya sekadar hiasan

Laporan lebih 70 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran adalah amaran, Malaysia bakal berdepan masalah tenaga kerja profesional sekali gus merencatkan status mencapai negara maju.

Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) perlu serius melihat trend tersebut kerana jika setiap tahun kira-kira tiga perempat calon SPM menamatkan pelajaran, ini bermaksud bekalan pekerja profesional turut berkurang setiap tahun.

Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kerajaan perlu melihat kesan jangka panjang bukan sahaja membabitkan negara tetapi generasi itu sendiri yang akhirnya memerlukan kerajaan membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup

Menurut beliau, KPM dan KPT tidak boleh `tenang’ dengan dapatan kaji selidik tersebut kerana jika terus diabaikan Malaysia akan menjadi negara mengundur.

“Pada saya laporan tersebut isyarat sangat jelas sesuatu mesti dilakukan KPM dan KPT. Bayangkan jika tiga perempat daripada kumpulan tersebut tidak meneruskan pengajian maksudnya bekalan pekerja profesional kita menurun pada masa akan datang.

“Kalau kita bercakap mahu jadikan Malaysia sebagai negara maju dan berkembang tetapi tiada pekerja profesional, kita perlu membawa masuk pekerja-pekerja itu dari luar untuk memenuhi kekosongan.

“Sedangkan di peringkat sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) sudah dipenuhi pekerja asing, takkan di peringkat profesional juga kita mahu ambil pekerja luar? Ini sangat membimbangkan untuk masa depan negara,” katanya Ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Anuar berpendapat, lepasan SPM beberapa tahun kebelakangan ini mungkin hilang semangat dan momentum untuk belajar selepas keputusan tidak memberansangkan sehingga menjadi faktor kewujudan trend tersebut.

“Keputusan SPM itu tidak sepatutnya menjadi sebab untuk tidak sambung belajar kerana zaman sekarang pelbagai institusi dan kolej kemahiran boleh dimasuki walaupun keputusan tidak cemerlang,” katanya.

Kata beliau, masalah tidak mahu menyambung pengajian juga mungkin berpunca daripada faktor kemiskinan menyebabkan pelajar tiada sokongan dari segi kewangan untuk sambung belajar dan akhirnya mereka perlu bekerja sebaik tamat SPM.

“Faktor kemiskinan perlu diperhalusi oleh kerajaan kerana ini sangat mendukacitakan kerana pelajar yang masih peringkat mahu belajar tetapi tiada kemampuan,” jelasnya.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pendidikan di Universiti Malaya (UM), Dr. Mohd Nazri Abdul Rahman pula berkata, kerajaan perlu merangka pelan membuka minda lepasan SPM supaya memahami bahawa pelajaran menjamin masa depan mereka.

Menurut beliau, disebabkan kumpulan tersebut masih muda, kemampuan dan fokus dalam diri akan membuka serta mencipta pelbagai peluang pekerjaan lebih baik selepas tamat pengajian lebih tinggi.

“Ada sesetengah pekerjaan tidak boleh bermula dari bawah disebabkan perjalanan terlalu jauh untuk sampai ke destinasi diimpikan tetapi apabila dengan pembelajaran, input dan latihan industri yang dilakukan semasa berada di universiti maka mereka akan mendapat tempat dengan apa diingini,” katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Utusan Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)