Header Ads

Fokus untuk dapatkan anak, Aprena Manrose ambil cuti panjang

Selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Aprena Manrose akur dengan ketentuan Tuhan apabila masih belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata sulung bersama suaminya, Mohd. Afiq Hazman.

Bagaimanapun, Aprena sentiasa positif dan percaya pada rezeki yang bakal dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya untuk bergelar seorang ibu suatu hari nanti.

Aprena atau nama lengkapnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 29, ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, dia mengambil cuti panjang untuk berehat bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha mendapatkan zuriat.

“Buat masa sekarang saya sedang berehat dan mengambil cuti berlakon sebab mahu beri fokus pada usaha untuk mendapatkan cahaya mata.

“Seperti yang semua orang tahu, saya sudah berkahwin selama enam tahun, namun belum ada rezeki dIkurniakan zuriat. Jadi saya dan juga suami ambil keputusan untuk berehat sebentar dari kerja,” katanya kepada Kosmo!.

Ujar Aprena, badan yang terlalu penat kerana kesibukan bekerja juga boleh menjadi salah satu faktor penyebab seseorang itu sukar mendapat cahaya mata.

Dalam pada itu, Aprena yang juga anak kepada bekas penyanyi dangdut Iwan Syahman memberitahu dia tidak melakukan rawatan rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF) sebaliknya berusaha untuk hamil secara semula jadi.

“Kami tidak buat IVF pun. Cuma rehatkan badan. Sebab kalau perempuan terlalu penat bekerja, susah untuk ‘bersama’ dengan suami. Bila badan penat macam mana nak ‘buat anak’?

“Lagipun saya dan suami sudah membuat pemeriksaan kesihatan dan kami sihat tanpa masalah untuk mendapatkan anak. Cuma belum rezeki lagi.

“Suami pun sarankan saya supaya berehat dahulu. Mungkin saya akan kembali bekerja pada bulan hadapan selepas beberapa bulan berehat. Itu pun saya tidak ambil ‘job’ terlalu banyak,” katanya.

Pada masa sama, Aprena bersyukur kerana mendapat seorang suami yang memahami dan tidak pernah mendesak untuk mendapatkan cahaya mata segera.

“Alhamdulillah suami dan juga keluarga mertua sangat memahami dan tidak pernah bertanyakan tentang hal cahaya mata.

“Saya dan juga suami pun tidak terlalu stres memikirkan soal anak. Kami jalani sahaja kehidupan berdua seperti biasa bersama-sama. Doakan kami yang baik-baik,” ujarnya.

Terdahulu, Aprena sebelum ini mengakui sedikit tertekan memikirkan soal cahaya mata selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga bersama Mohd. Afiq.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Kosmo! oNline

No comments:

Powered by Blogger.