16,364 kuarters guru bernilai hampir 1 bilion terbiar tanpa penghuni

encik gotenks
0

Sebanyak 16,364 unit kuarters guru bernilai hampir RM1 bilion di seluruh negara terus terbiar sehingga menjadi sarang gejala sosial dan jnayah.

Anggaran nilai projek terbiar tersebut berdasarkan harga binaan bagi seunit kuarters sekitar RM50,000 sebuah.

Mengikut laporan Kementerian Pendidikan tahun 2019, lebih 16,000 unit masih kosong daripada jumlah keseluruhan 50,257 kuarters guru yang dibina.

Daripada jumlah yang kosong pula hanya 6,302 unit dalam keadaan baik dan boleh diduduki manakala bakinya 10,062 unit lagi rosak dan tidak boleh didiami.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa negeri mendapati, kuarters guru yang terbiar itu bukan sahaja menyakiitkan mata, tetapi, menggambarkan pembaziran besar perbelanjaan kerajaan yang tidak diurus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, isu berkaitan kuarters guru menjadi ‘gajah putih’ tersebut kerap dibangkitkan kepada Kementerian Pendidikan, namun tiada tindakan untuk menyelesaikannya.

Menurut beliau, situasi tersebut mungkin berpunca masalah lain yang tidak didedahkan sekali gus menjadi halangan untuk kuarters guru yang siap dibina disewakan sama ada kepada swasta mahupun jabatan perkhidmatan awam yang lain.

“Banyak kemungkinan dan kita pun tak pasti apa sebenarnya, tetapi kena selesaikan dulu sebarang halangan bagi membolehkan bangunan itu disewakan kepada swasta atau jabatan lain.

“Tetapi, kalau tiada isu untuk disewakan, kita harap boleh diguna pakai sebab sayang, ia rosak begitu saja kalau terus dibiar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tiada permintaan

Bagaimanapun, Jasni berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kuarters itu terbiar berpunca daripada tiada permintaan daripada guru-guru.

Katanya, ini kerana guru-guru mungkin lebih selesa untuk tinggal di rumah sendiri atau kemungkinan kawasan kuarters yang dibina secara bertingkat tidak menarik minat guru-guru untuk mendiaminya.

“Kebanyakan kuarters yang dibina di bandar, jadi jika di bandar kebanyakan guru memiliki rumah sendiri.

“Jadi kalau nak buat kuarters kena pilih lokasi sesuai, seperti di pedalaman Sabah dan Sarawak atau tempat yang susah mahu cari rumah sewa,” kata beliau.

Sementara itu, tinjauan di Kedah mendapati sekurang-kurangnya tiga kuarters guru yang siap dan lengkap terbiar lebih 10 tahun sehingga dipenuhi semak-samun yang sesetengah kawasan sampai tidak nampak rumah.

Antara lokasinya ialah Kuarters Pendidikan Tajar di Alor Setar serta dua di Pendang iaitu Kuarters Pendidikan Kubur Panjang dan Kuarters Pendidikan Sungai Tiang.

Rumah hantu

Ketiga-tiga kuarters yang mampu menempatkan ratusan keluarga itu ibarat ‘rumah hantu’ kerana tidak pernah diselenggara.

Malah, banyak fasiliti seperti lampu, kipas, kepala paip dan jeriji hilang.

Selain itu, dibimbangi kawasan yang ditinggalkan itu menjadi tempat pembiakan haiwan berbisa kerana tidak dipantau oleh pihak berkenaan.

Tinjauan di tiga blok Kuarters Pendidikan Tajar yang dibina sekitar tahun 2000 turut menyedihkan apabila bangunan lima tingkat itu hanya empat tahun didiami.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, mereka sering melihat individu tidak dikenali memasuki kawasan berkenaan setelah tiada lagi guru tinggal di situ.

“Ketika guru dan keluarga mereka tinggal di sini dahulu, suasananya meriah dan kami penduduk berhampiran juga menikmati limpahan rezeki apabila mereka berbelanja di kedai runcit atau kedai makan yang dibuka penduduk,” katanya.

Keadaan serupa berlaku di Kuarters Pendidikan Sungai Tiang yang turut menempatkan tiga blok perumahan selepas ia ditinggalkan sejak 2004.

Seorang penduduk, Ahmad Zahir Abdul Razak, 51, berkata, kuarters yang difahamkan berharga puluhan juta ringgit itu tidak sepatutnya terbiar dan menjadi projek ‘gajah putih’.

“Jika tidak mahu digunakan lagi, sewakan sahaja kepada penduduk atau jadikan pusat tahfiz dan sebagainya yang tidak merugikan wang negara,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Kuarters Pendidikan Kubur Panjang di tengah-tengah pekan dan berhampiran fasiliti awam lain, keadaan lima blok bangunan di situ dilihat lebih baik berbanding dua lagi kuarters terlibat.

Namun, ia juga dilihat semakin usang jika terus tidak diselenggara setelah dibiarkan tidak berpenghuni sejak tiga tahun lalu.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Utusan Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)