Rakyat diminta guna kuasa pengguna desak pasaran, stabilkan harga ayam, kata sumber industri

encik gotenks
0

PENAFIAN : GAMBAR SEKADAR HIASAN

Masyarakat pengguna perlu memainkan peranan dan kuasa beli mereka untuk mendesak pasaran bagi memastikan harga ayam kembali stabil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber industri berkata, ketiadaaan mekanisme yang sesuai untuk mengatasi kenaikan harga ayam pada masa ini menyebabkan permasalahan berkenaan akhirnya diserahkan kepada kuasa beli pengguna.

Katanya, penarikan harga siling RM8.90 kepada harga apungan mulai 1 Julai ini akan menyebabkan pengguna terbeban, tetapi mereka mempunyai alternatif untuk beralih kepada barang makanan lain.

“Pihak berkuasa seolah-olah tidak memahami punca utama perkara ini berlaku sehingga menyebabkan tiada mekanisme yang sesuai untuk menyelesaikan isu mengenai harga ayam dan terpaksa tunduk kepada desakan pihak tertentu.

“Akhirnya isu ini diserahkan kepada pengguna, memang benar apabila harga siling dinyahkan maka bekalan ayam akan beransur pulih dan tiada lagi isu ayam kerana tuntutan kumpulan berkenaan berjaya dicapai dimana harga ayam boleh melepasi harga sebelum ini.

“Kesan buruk hanya kepada pengguna, mereka terpaksa membeli ayam mentah dengan harga yang lebih tinggi sebelum ini. Misalnya, bulan hadapan harga meningkat ke RM12 sekilogram maka untuk seekor ayam boleh melepasi RM20,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Kerajaan bagaimanapun memberi amaran kepada pemain industri ayam supaya tidak menjadikan harga yang diapungkan bermula 1 Julai ini sebagai pesta harga sehingga membebankan rakyat.

Malah, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, walaupun kenaikan harga ayam melebihi harga kawalan ketika ini tidak dapat dielakkan, namun kerajaan akan memastikan ia ditetapkan pada harga munasabah.

Sumber menambah, harga akan meningkat dengan drastik sekiranya kumpulan berkenaan bersikap tamak yang mana akhirnya juga akan memakan diri mereka semula apabila pengguna menggunakan kuasa mereka.

“Sebab sekarang pun harga di sesetengah pasar sudah mencapai RM11 ke RM12 untuk sekilogram, kalau harga terus meningkat ia sangat beri kesan buruk kepada mereka balik kerana tiada siapa mampu membeli barangan mentah itu sekiranya mencapai RM15 sekilogram.

“Harga sekarang sudah munasabah selari dengan peningkatan kos, mereka juga sudah mula meraih keuntungan lebih. Kalau mereka tamak ia hanya akan menyebabkan lambakan ayam dan harga akan jatuh mendadak,” katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Utusan Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)