Header Ads

Harga siling ayam RM9.40 : Peniaga dan pengguna puas hati harga berpatutan

Peniaga dan pengguna berpuas hati dengan penetapan harga siling ayam RM9.40 yang berkuat kuasa hari ini.

Tinjauan dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di pasar harian dan pasar raya sekitar ibu kota mendapati kedua-dua pihak bersetuju dengan penetapan harga berkenaan.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, tinjauan mendapati peniaga tidak lagi mengenakan caj pemotongan berbanding sebelum ini bagi menampung kos mereka.

"Sehingga jam 10 pagi, kami tidak menerima sebarang aduan berhubung harga ayam yang terlalu tinggi kepada pengguna.

"Tiada juga aduan daripada peniaga berhubung pembekal mengenakan caj yang tinggi kepada mereka," katanya ketika ditemui selepas tinjauan terbabit, hari ini.

Ariffin berkata, pihaknya mendapati beberapa pasar raya di ibu kota masih menjual harga ayam mengikut harga siling lama iaitu RM8.90.

"Yang ini kita patut puji, mereka ini bersama-sama dengan kerajaan membantu dan sensitif dengan apa yang berlaku.

"Dari segi bekalan juga kita dapati tidak ada masalah, bekalan ayam di ibu kota dilihat mencukupi," katanya.

Mengulas berhubung minyak masak paket pula, beliau berkata, pada minggu ini terdapat 48,000 kilogram (kg) minyak masak paket di seluruh pasar dan pasar raya sekitar Kuala Lumpur.

"Pada setiap awal bulan stok akan ditambah, kebiasaannya kilang akan menghantar stok selepas jam 10 pagi dan akan diedarkan.

"Kita akan boleh lihat pertambahan stok selepas tengah hari ini selepas pengilang siap mengedarkan minyak masak berkenaan," katanya.

Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.