Umur sebaya anak sulung, Muswadi tetap masuk meminang, janji akan bahagiakan hidup isteri

encik gotenks
0

 


Biarpun sudah dua kali kecundang dalam perkahwinan, Muswadi Mohamed Shariff tidak serik untuk mencari pasangan hidup.


Bapa kepada lapan anak itu berkahwin buat kali ketiga baru-baru ini, dan memilih, Rasyidah Mohd Aris, 27, yang juga sebaya dengan anak sulungnya.


Berkat restu keluarga, Muswadi, 48, dan Rasyidah selamat diijabkabulkan pada 27 Mac lalu di Masjid Toh Puan Besar Hatijah di sini.


Perkahwinan mereka mendapat perhatian selepas Rasyidah memuat naik video mereka di TikTok baru-baru ini.


Bercerita lanjut, Muswadi yang menetap di Kampung Sentang di sini, mengakui tidak pernah menutup pintu hati untuk berkahwin walaupun perkahwinan terdahulunya berakhir dengan perpisahan.


Muswadi berkata, dia menerima ketentuan Ilahi dengan reda kerana menganggap tiada jodoh untuk terus bersama walaupun mereka berusaha mempertahankan rumah tangga dibina.


"Saya teruskan hidup macam biasa selepas berpisah kerana perlu terus cari rezeki bagi menyara anak.



"Perihal jodoh, saya berserah pada Allah namun ada juga usaha untuk berkenalan kerana memang mahu ada pasangan.


"Ditakdirkan, saya berkenalan dengan isteri yang jauh lebih muda usianya, jadi terima saja dan berdoa semoga perkahwinan kami kekal sehingga akhir hayat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Menurut Muswadi, dia tidak terlalu mencuba untuk memenangi hati keluarga mentua namun bersyukur kerana lamarannya diterima.


"Saya tidak berani berjanji bulan dan bintang dengan keluarga mentua kerana sedar diri ini hanya manusia saja dan bimbang apa dijanjikan tidak dapat ditunaikan.


"Bagaimanapun, saya ada beritahu kepada ibu mentua sebelum berkahwin dengan isteri yang saya akan cuba menjaga anaknya dengan sebaik mungkin.


"Itu yang saya dapat lakukan dan niat berkahwin ini adalah kerana Allah," katanya.


Sementara itu, Rasyidah tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan pasangan lebih berusia kerana pernah menjalin hubungan cinta sebelum ini namun hanya dengan lelaki sebaya.


Bagaimanapun, dia menerima ketentuanNya dengan reda dan baginya, jarak usia bukan penghalang kerana apa yang penting, perkahwinan mereka mendapat restu kedua belah keluarga.


"Saya berkenalan dengan suami sejak awal tahun lalu kerana kami bekerja di kedai makan yang sama.


"Saya bekerja sebagai pembantu kedai, manakala suami pula pembancuh air dan pada awalnya, hubungan kami setakat kawan biasa saja.



"Lama kelamaan, kami jadi rapat dan akhirnya dia berterus terang mahu memperisterikan saya.


"Ingatkan dia main-main kerana kami sering bergurau namun dia serius dan emak tidak menghalang cuma minta saya fikir masak-masak sebelum menerima lamaran suami," katanya yang juga anak ketiga daripada empat beradik dan kematian bapa sejak berusia sembilan tahun.


Menurut Rasyidah, kisah silam suaminya langsung tidak menyebabkannya berasa takut untuk meneruskan perkahwinan itu.


"Suami ada cerita kisah perkahwinan dan pengalamannya sebelum ini. Saya anggap apa yang berlaku itu adalah masa lalunya dan mahu pandang ke hadapan saja.


"Alhamdulillah, ramai mendoakan selepas saya kongsikan kisah kami di TikTok dan banyak juga kata semangat diterima terutama daripada mereka yang berkahwin dengan pasangan lebih berusia," katanya.


Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)