Taktik kahwin gadis tempatan, warga asing kini kuasai perniagaan di bandar besar

encik gotenks
0

 


Ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyeludup masuk ke negara ini kini semakin menguasai banyak perniagaan di lokasi strategik di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.


Jika sebelum ini, PATI terbabit hanya mahu mencari pekerjaan seperti operator kilang, buruh, petani dan peladang, namun sekarang mereka tidak lagi ingin lagi menjadi ‘kuli’, sebaliknya tauke besar.


Ahli Majlis Tertinggi Clean Malaysia Movement (CMM), Zahir Khan Mohamad Ali mendakwa, PATI dari Bangladesh dan Indonesia mula mendominasi perniagaan seperti peruncitan, pertanian, pemborongan, bengkel kenderaan dan reka bentuk dalaman rumah serta pejabat.


“PATI terbabit mudah menjalankan perniagaan ekoran wujud pihak tertentu atau tangan ghaib yang melindungi dan menyokong bisnes mereka.


“PATI ini dipercayai ‘dijaga’ pihak tertentu yang sering me­nyalurkan maklumat sehingga mereka tidak takut untuk menjalankan perniagaan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.



Zahir Khan berkata, mereka juga bijak apabila menjadikan gadis tempatan sebagai ‘tiket’ bagi memudahkan aktiviti perniagaan dijalankan di negara ini.


Katanya, hasil risikan pihak­nya, hampir separuh daripada mereka menggunakan modus operandi tersebut.


“Nama pasangan akan didaftarkan untuk menjalankan perniagaan yang sah dan memohon peruntukan daripada agensi kerajaan dan swasta,” ujarnya.


Menurutnya, jika isu tersebut terus berleluasa, pihaknya yakin kedudukan rakyat tempatan dan generasi masa depan akan terjejas dari segi persaingan dalam perniagaan dan juga terlepas daripada menerima peruntukan kerajaan.


“Apa yang saya nampak, kebanyakan PATI yang berkahwin dengan wanita tempatan sudah mempunyai anak-anak yang dewasa dan telah bekerja.


“Tidak mustahil juga jika ge­nerasi ini telah bekerja dalam sektor kerajaan. Mereka mungkin akan membantu kaum kerabat sendiri untuk mendapatkan keistimewaan tertentu sebagai rakyat negara ini,” ujarnya.



Zahir Khan memberitahu, berdasarkan laporan media, pertubuhan bukan kerajaan dan maklumat lain yang diterima, kira-kira 7 juta hingga 11 juta PATI kini berada di Malaysia.


Katanya, kebanyakan mereka yang menyeludup masuk ke negara ini telah membuat bayaran kepada ejen atau tekong sehingga mencecah RM5,000 hingga RM20,000 seorang.


“Berdasarkan maklumat yang diterima, selain Bangladesh dan Indonesia, warga Pakistan dan Vietnam turut dibawa masuk melalui perairan Selat Melaka. Mereka menjadikan Thailand sebagai negara transit sebelum menceroboh Malaysia.


“Tak kurang juga yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial, namun bertukar menjadi PATI apabila tempoh pas lawasan itu telah tamat,” katanya.

Sumber : Kosmo Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)