Header Ads

Dikecam guna duit NGO beli Porsche, Zara Zya akhirnya bersuara

 


Kegembiraan aktres jelita, Zara Zya apabila berjaya memiliki kereta mewah bernilai RM400,000 selepas lebih setahun mengumpul duit sekali lagi mencetuskan sensasi.


Sesetengah netizen mengagumi kejayaan pelakon yang mengukir nama menerusi drama Love You Mr Arrogant itu memperoleh kereta idaman hasil daripada titik peluh sendiri.


Namun, tidak kurang juga mengecam tindakan aktres berusia 37 tahun itu berkongsi dalam media sosial, baru-baru ini, kononnya mahu menunjuk-nunjuk kereta mewah dimiliki.


Ada pula beranggapan wanita kelahiran Lenggong, Perak itu sebagai membazir kerana membeli kereta mewah bernilai hampir setengah juta ketika ramai yang terkesan dalam era pandemiik C0VID-19.


Namun, kritikan paling hangat apabila ada menuduhnya menggunakan wang badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia Prihatin yang ditubuhkan, tahun lalu.



Mengajukan soalan itu kepada Zara, pelakon Korban Kasih ini mengaku tidak menduga perkongsian mengenai pembelian kereta baharu dalam media sosial tular.


"Bagi saya, IG adalah platform untuk berkongsi apa sahaja. Jadi, rasanya tidak salah jika saya berkongsi apa sahaja dalam akaun media sosial. Namun, saya saya tidak terfikir pula ia menjadi tular.


"Jika ingin menunjuk-nunjuk, sudah tentu sebaik sahaja dapat kereta saya terus muat naik dalam IG. Saya hanya berbuat demikian selepas jurujual kereta memuat naik gambar saya terlebih dahulu di Instagram (IG)," katanya kepada BH Online.


Zara berkata, selain bayaran lakonan dan aktiviti seni, dia juga mengusahakan perniagaan pembinaan menerusi syarikat FZA Utama Sdn Bhd sebagai sumber pendapatan.


Ditanya apakah membuat tabungan untuk membeli kereta idaman, Zara berkata:


"Hendak kata kumpul duit beriya-iya, itu tidaklah. Tetapi, saya meletakkan sasaran memiliki kereta 'sport'. Secara kebetulan, ada rezeki dikurniakan dan mampu membeli kereta ini.


"Jadi, saya 'sambar' sahaja kereta yang menjadi idaman sejak dahulu. Saya tidaklah mengumpul duit hingga perkara lain terabai," katanya.


Mengenai dakwaan konon Zara menyalahgunakan wang NGO ditubuhkan untuk kepentingan peribadi, Zara berkata:



"Biasalah, mulut netizen. Kalau ikutkan, tidak hanya soal kereta sahaja yang mereka suka bercakap, tetapi ada sahaja perkara hendak dipertikaikan.


"Namun, jika ada yang menuduh saya guna duit NGO, ini memang melampau. Saya beli kereta dengan hasil titik peluh saya.


"Jadi, tolonglah rasional sedikit dan jangan kaitkan mengenai NGO. Ini kerana ia boleh merosakkan reputasi dan mencetuskan salah faham.


"Sejujurnya, dalam tidak sedar, apa yang dikongsikan turut menjadi inspirasi kepada orang lain. Ada yang mula mengumpul duit untuk memiliki barangan yang diingini... Alhamdulillah.


"Bagi saya, orang mengata, itu perkara biasa. Namun, jangan pertikaikan rezeki yang Allah hendak beri pada saya," katanya.

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Powered by Blogger.