Header Ads

Sudah masuk senarai makanan kayangan, telur bukan lagi lauk rakyat marhaen

 


Bagi rakyat pendapatan rendah dan sederhana di negara ini, telur adalah sumber protein paling murah.


Telur goreng dinikmati bersama nasi dan kicap pun sudah cukup sedap serta menyelerakan.


Bagi orang bujang pula, menu ‘nasi bujang’ berlaukkan telur bersama sup kosong sudah cukup mengenyangkan, malah lauk itulah yang paling murah dijual di kedai makan ataupun restoran.


Jika harga terus meningkat, nampaknya telur bukan lagi menu rakyat marhaen, apatah lagi buat golongan fakir miskin.


Apa lagi makanan yang boleh dinikmati golongan berkenaan sekiranya semua lauk-pauk bertukar menjadi harga kayangan.


Jika diperhatikan, lauk lain seperti ikan, daging dan ‘seafood’ sudah lama naik harga. Ia menjadi hidangan golongan kayangan.


Ikan termenung atau ikan kembung yang dahulunya sinonim dengan rakyat marhaen juga mahal, dijual antara RM13 hingga RM17 sekilogram.


Harga udang dan ketam pun sama juga. Untuk saiz gred A, harga udang boleh mencecah lebih RM50 sekilogram.



Begitu juga harga daging tempatan, rata-rata peniaga menjualnya dengan harga melebihi RM30 sekilogram.


Itu belum lagi harga daging harimau menangis (bahagian dalam paha belakang lembu) yang mencecah RM58 sekilogram, manakala daging batang pinang pula RM40 sekilogram.


Terkini, harga ayam dan telur turut mengalami peningkatan. Harga telur ayam kini dalam lingkungan RM10.50 hingga RM12.70 sepapan bagi telur gred B dan C, sementara telur ayam gred AA meningkat RM13.50 sehingga RM13.90 sepapan.


Ayam standard pula dijual dengan harga RM8.90 sekilogram dan mampu mencecah sehingga RM20 seekor.


Bukan sahaja lauk-pauk, sayur pun ikut sama - mahal. Siapa yang ke pasar, pasti terkedu melihat harga sayur seperti cili yang mencanak naik hingga RM17 sekilogram.


Masih terngiang-ngiang kenyataan pak menteri dahulu, ‘kalau ayam naik harga, jangan makan ayam.’ Sekarang bukan sahaja ayam, semua barang pun mahal. Pendek kata, rakyat kini perlu mencatu duit untuk membeli makanan.


Langkah kerajaan memberikan subsidi 60 sen setiap kilogram ayam hidup dan subsidi lima sen sebiji telur kepada pengeluar di peringkat ladang, mungkin sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada penternak.


Bagaimanapun, pemberian subsidi itu bukanlah langkah konkrit bagi mengatasi kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam serta telur kerana ia hanya diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) bermula 5 Februari hingga 4 Jun ini.


Sampai bilakah rakyat akan ditenangkan dengan pengumuman yang bersifat sementara seperti ini tanpa adanya penyelesaian?


Isu kenaikan harga barangan dan makanan di Maaysia bukanlah perkara baharu, sebaliknya semakin membelenggu rakyat terutama dalam suasana sektor ekonomi baru sahaja dibuka semula selepas dua tahun terjejas akibat pandemlk C0vid-19.


Sepatutnya kerajaan dan pihak kementerian mempunyai langkah lebih proaktif bagi menangani isu berkenaan.



Pihak berwajib perlu bertindak pada peringkat pengeluaran dan bukannya hanya pada peringkat kawalan harga.


Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail pernah mencadangkan model perniagaan baharu diperlukan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada manipulasi orang tengah dalam rantaian bekalan.


Beliau berkata, harga barang terus meningkat saban hari walaupun kerajaan menegaskan bahawa langkah menangani isu berkenaan diambil melalui agensi-agensi tertentu.


Maka, amatlah penting kerajaan menerusi kementerian dan agensi terlibat melihatnya dari aspek yang menyeluruh serta mencari jalan keluar daripada isu yang makin membebankan rakyat.


Janganlah mengambil langkah mudah dengan menyuruh rakyat memahami dengan kenaikan harga barang. Sebagai kerajaan, setiap menteri yang dilantik wajar mencari jalan memulihkan kesengsaraan rakyat.


Tidaklah wajar rakyat terus dibebani kos sara hidup yang tinggi hingga terpaksa catu wang untuk mengisi perut, sedangkan pemimpin berada di zon selesa!


Kredit kepada : Arney Syema Anua,  Editor Pengisian Sinar Harian

No comments:

Powered by Blogger.