Hanya disebabkan tiada MySejahtera, mak guard halang ibu tunggal masuk UTC buat IC selepas lorinya terbakar, telefon dan dokumen penting semua musnah

encik gotenks
0

 


Menerusi perkongsian pengguna Facebook bernama Izzudin Ismail, dia didatangi seorang wanita dan seorang lelaki tak dikenali sewaktu berkunjung ke Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang di Pasir Gudang, Johor, pada Isnin.


"Lepas urusan di bank tadi, saya tak tahu kenapa Allah gerak hati nak ke Pusat Bandar Pasir Gudang. Rasa macam nak ngeteh kejap. Tiba-tiba saya didatangi dua orang, kakak dan abang ni.


"Mereka minta tolong saya call kan balai polis sebab pengawal keselamatan yang jaga pintu masuk ke Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang tak bagi mereka masuk. Dah tunjuk laporan polis pun tetap tak bagi masuk.


"Sebab mereka tiada handphone, tak boleh scan MySejahtera dan tak ada IC (kad pengenalan). Sebab barang-barang penting mereka semua terbakar dalam lori sewaktu di Endau Mersing, termasuk handphone, wang tunai, IC, lesen semua," dakwanya.


Walaupun selepas polis bercakap dengan pengawal keselamatan wanita itu menerusi panggilan telefon, Izzudin mendakwa, petugas berkenaan tetap berkeras tidak membenarkan masuk kerana tiada aplikasi MySejahtera untuk diimbas atas alasan risiko kesihatan.


"Saya pun dah tak tahu macam mana lagi nak bantu akak dengan abang ni. Sebab mereka nak pergi bank, atas urusan nak buat kad bank apa semua sebab dah terbakar kan.


"Susah sangat, nak bergerak pun tak ada duit. Duit pun pinjam orang dulu. Tapi masalah bank pula minta mereka buat IC sementara dulu di JPN.


"Jadi mereka ni ke UTC pusat bandar nak buat IC sementara itulah. Tapi pengawal perempuan ni tak nak bagi masuk sebab tak ada Mysejahtera," katanya.


Menurut laporan polis yang dibuat pada Isnin, kejadian lori terbakar berlaku pada petang Ahad ketika wanita berkenaan memancing di Endau Johor bersama seorang anak dan seorang pekerja, menyebabkan kesemua barang dan dokumen penting milik mereka turut musnah dalam kebakaran tersebut, termasuk wang tunai berjumlah RM3,700.


Tambah Izzudin, pengawal keselamatan itu kemudian meminta sesiapa yang boleh memasukkan wanita itu dalam senarai tanggungan (dependant) dalam aplikasi MySejahtera untuk dibenarkan masuk.


"Dah la akak ni ibu tunggal. Nak mintak tolong saudara, saudara pula kerja. Saya bagi cadangan kat akak dan abang ni, mintak dia panggil bos dia, tapi sibuk katanya.


"Kenapalah susah sangat nak memudahkan urusan orang yang tengah susah. Hanya sebab MySejahtera tak ada," katanya.


Namun apa yang turut dikesalkan Izzudin apabila wanita berkenaan sebelum ditemuinya didakwa menerima layanan kurang baik daripada pengawal keselamatan sama.


"Abang dengan akak tu memang tak dapat settle urusan dia hari ini (Isnin) sebab tak ada MySejahtera dan tak ada handphone. Saya nak tolong tambah dependant tapi saya pun tak cukup syarat dua dos..


"Dia malas nak gad0h sebab penat sangat. Tengok muka pun memang kasihan dah penat banyak benda nak uruskan. Nak hadap dengan masalah ni pula," katanya menerusi posting pada Isnin yang dikongsi sebanyak 2,500 kali.


Sementara itu, anak mangsa, Syazwani Mat Junoh, 22, ketika dihubungi mStar mengesahkan kejadian pada Isnin susulan lori milik ibunya yang berniaga terbakar ketika memancing.


"Semalam saya tak ada bantu mak sebab saya tengah cari kerja dan hari ini pula adalah hari pertama saya bekerja di kilang.


"Mak dah terima dua dos vaksin. Pagi ni katanya nak cuba buat berurusan di Kota Tinggi pula," katanya secara ringkas ketika dihubungi.

Sumber : mStar Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)