Bekalan telur ayam dijangka terjejas pada Ramadan, kata Lee Yoon Yeau

encik gotenks
0

 


Penafian : Sekadar gambar hiasan

Kekurangan pengeluaran telur ayam di pasaran dijangka berlarutan sehingga Ramadan sekiranya tiada subsidi dedak diberikan kepada penternak dan pengeluar.


Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau berkata, sekiranya kerajaan mempercepatkan subsidi untuk dedak ayam, perkara itu boleh dielakkan kerana penternak dan pengeluar dapat menampung kos pengeluaran.


Beliau berkata, secara purata kos pengeluaran untuk sebiji telur ayam pada masa ini antara 36 sen hingga 40 sen sebiji.



"Setiap hari kita memerlukan antara 30 juta hingga 31 juta telur untuk dipasarkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.


"Mungkin kira-kira 10 peratus (dua hingga tiga juta) sehari akan berlaku kekurangan pada Ramadan jika keadaan ini berterusan. Bergantung kepada ladang yang mampu keluarkan," katanya pada sidang media hari ini.


Beliau berkata, subsidi diharapkan daripada kerajaan pada masa ini bukan disebabkan untuk keuntungan, sebaliknya bagi meneruskan kelangsungan pengeluaran telur dan ayam daging di pasaran.


"Saya harap dapat cepatkan subsidi agar kita boleh 'survive', sekarang bukan untuk untung, tetapi penternak dan pengeluar hanya minta untuk 'hidup' waktu ini.



"Selain itu kita minta kerajaan boleh berikan harga jualan kepada kita antara 40 hingga 42 sen sebiji kerana dari tahun lalu, kita rugi antara 10 hingga 12 sen untuk sebiji telur," katanya.


Beliau berkata, perjumpaan sudah diadakan bersama pihak kerajaan dan diberikan jaminan untuk diberikan subsidi.


Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini belum ada sebarang makluman baik daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai hal berkenaan.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)