Header Ads

Saya tak tolak andai ditakdirkan jodoh bukan Melayu, kata Erra Fazira

 


"Saya tak ada masalah untuk berkawan atau berkahwin dengan bangsa lain," kata penyanyi dan pelakon popular, Erra Fazira.


Erra, 47, berkata, sejak dulu hingga sekarang, dia tidak pernah menyekat sekiranya jodoh yang hadir bukan dalam kalangan orang Melayu.


"Perhubungan yang terjalin dengan seseorang bukan Muslim boleh membuka ruang untuk mereka mendalami agama Islam dengan lebih dekat. Saya sentiasa alu-alukan walaupun jika jodoh yang datang bukan dalam kalangan orang Melayu. Saya anggap sesiapa pun bukan Muslim yang mahu mendekati saya adalah kerana mereka mahu mendalami agama Islam," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Kongsi Raya di sebuah pusat beli-belah, di sini.


Erra berkata, mungkin juga seseorang berlainan bangsa mendekati dirinya kerana mereka berminat untuk mendalami budaya berbeza.


Erra berkata, dia pernah berpasangan dengan seseorang bukan Melayu.


"Berkenalan itu ada tapi tidak sampai ke fasa berkahwin," katanya.



Persoalan itu diajukan berikutan filem lakonannya ini adalah terbitan sebuah produksi Cina tempatan.


Ia mengisahkan percintaan berlainan bangsa iaitu Melayu dan Cina yang mendapat tentangan ibu bapa masing-masing.


Erra buat pertama kali melakonkan watak sebagai ibu dalam filem ini yang menggandingkannya dengan Harith Iskandar sebagai suami serta pelakon baharu, Qasrina Karim sebagai anak mereka.


Filem arahan Teddy Chin yang turut menampilkan Chew Kin Wah dan Ong Ai Leng ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina pada 3 Februari ini.


Mengulas pembabitannya dalam filem itu, Erra menerima tawaran terbabit kerana ingin menimba pengalaman berlakon di bawah produksi Cina.


"Saya dah pernah bekerja dengan produksi Melayu dan India dan apabila bekerja dengan produksi ini, saya kagum dengan disiplin membabitkan jadual bekerja.



"Waktu penggambaran akan habis tepat pada masanya. Kalaulah produksi kita pun begitu, pasti industri kita akan lebih berkualiti. "Selain itu, cara Teddy mengarah juga berbeza. Saya rasa mungkin kita boleh ambil sedikit cara mereka dan mereka pun boleh ambil perkara yang positif daripada kita," katanya.


Bercerita kesudiannya membawa watak itu, yang jarang dilakukannya, Erra berkata, dia ingin mencuba sesuatu yang baru.


"Saya pernah bawa watak ibu sebelum ini menerusi drama, manakala ia kali pertama untuk filem. Dan apa apa watak pun akan ada banyak cabang.


"Kali ni saya bawa watak ibu yang moden selain pengarah cuba sampaikan mesej tersendiri secara berhibur, berlawak dan bersahaja. Saya menafikan dapat tawaran lumayan, namun harga yang diberikan mereka boleh dikatakan berpatutan dan sesuai dengan nilai saya," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.