Pakar percukaian minta LHDN cekup individu culas bayar cukai

encik gotenks
0

 


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disaran melakukan tngkapan terhadap mana-mana individu yang mengelak bayar cukai tanpa mengira jenis perniagaan diceburi mereka.


Pakar percukaian, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, tindakan itu perlu diambil seperti mana yang dilakukan di negara-negara maju lain.


Menurut beliau, ini kerana golongan lari cukai sudah menjadi seperti satu budaya kepada setengah peniaga dan menerusi cara itu mereka memperoleh untung lebih 24 peratus jika berjaya elak daripada membayar cukai.


“Jika di Amerika Syarikat (AS), warganegara berkenaan perlu membayar cukai tidak kira di mana mereka berada asalkan seseorang itu mempunyai pendapatan. Di Malaysia pula, hanya cukai pendapatan yang diperoleh di negara ini dan pendapatan yang dibawa masuk ke Malaysia yang dikenakan cukai.



“Malah mungkin agak sukar sekiranya pendapatan dibawa masuk itu tidak melalui sistem bank atau melalui kaedah yang rumit menyebabkan pendapatan tersebut tidak boleh dikesan melalui sistem perbankan.


“Maka sepatutnya taangkap sahaja individu lari cukai dengan pergi rumah ke rumah, hubungi mereka yang dilihat hidup mewah dan buat satu taksiran anggaran (cukai). Jika ingkar, mereka kena buktikan pendapatan yang diperoleh itu tidak sepatutnya dikenakan cukai,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.


Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata, pihaknya berdepan cabaran menguruskan ekonomi bayangan yang meliputi kegiatan ekonomi gelap yang masih menjadi ancaman kepada ketirisan hasil dan perniagaan berasaskan e-dagang yang semakin menjadi pilihan pada masa ini.


Ini kerana pendapatan kasar e-dagang yang bercukai di negara ini mencecah lebih RM800 bilion setahun, namun ramai usahawan dalam perniagaan tersebut mengelak membayar cukai.


Mereka yang dikesan mengelak membayar cukai terdiri pempengaruh media sosial, youtuber, instafamous, Tik Toker, facebooker, game streamer dan pekerja ekonomi gig.


Bagaimanapun, Dr. Barjoyai berkata, kebanyakan negara dunia termasuk AS masih lagi dalam tempoh percubaan dan mencari model yang terbaik untuk mengenakan cukai kepada peniaga sektor e-dagang.



Katanya, ini kerana timbul banyak masalah berkenaan siapakah yang perlu dikenakan cukai sama ada pelanggan atau penjual.


“Persoalannya jika cukai itu dikenakan kepada pelanggan di negaranya atau di negara ini dan jika penjual, mereka tak semestinya berdaftar di Malaysia sekiranya menjalankan perniagaan dalam talian,” jelasnya.


Oleh itu, katanya, LHDN perlu mempunyai satu kaedah yang terbaik untuk mentafsir dari segi pendapatan semua orang yang tinggal di negara ini.


“Jadi, tak kisah pendapatan itu dari mana asalkan dibawa masuk ke negara ini atau ada pendapatan di sini, maka perlu dikenakan cukai,” jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)