Header Ads

Syarikat rakaman tawar Sofea jadi penyanyi,tapi saya tak izinkan, kata Haqiem Rusli

 


Penyanyi Haqiem Rusli, 23, mendedahkan syarikat rakaman, FMC Music mahu mengambil isterinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19, untuk dijadikan penyanyi.


Bagaimanapun, Haqiem berkata, dia tidak bersetuju, sebaliknya berpendapat biarlah dirinya seorang sahaja berkecimpung dalam dunia muzik.


"Sofea boleh menyanyi, suaranya sedap seperti penyanyi Indonesia yang mempunyai 'tone' suara yang baik.


"Namun, biarlah saya seorang sahaja bergelar anak seni, lagipun, saya mahu isteri fokus pada perniagaan kami, SanThai Village sebab mahu buka francais kedua dan seterusnya.


"Lagipun, Sofea tidak biasa dengan dunia hiburan, jadi biarlah dia fokus dengan perniagaan. Kalau nak cakap soal cemburu, sebagai suaminya tentulah saya cemburu, sebab itulah lumrah. Tetapi, cemburu saya tidaklah keterlaluan," katanya kepada BH Online.



Mengulas adakah selesa Sofea mendapat perhatian ramai, Haqiem berkata, dia dan isterinya tidak mempunyai masalah.


"Buat masa ini, saya gembira apabila Sofea mendapat perhatian. Bukan mahu berbangga pengikutnya dalam laman sosial naik, namun, saya gembira apabila sesuatu perkara boleh membuatkan isteri gembira.


"Seperti anda juga gembira apabila jumlah pengikut naik. Namun, saya tidak menafikan Sofea malu dan gementar berhadapan dengan wartawan, tetapi saya banyak memberikan nasihat.


"Kini, Sofea sedang belajar menerima perhatian dari orang ramai," katanya.


Haqiem yang mendirikan rumah tangga pada 19 November lalu mengakui, kehidupannya kini lebih sempurna dengan kehadiran Sofea.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu berkata, hidupnya kini lebih terisi dengan kehadiran isteri yang sentiasa di sisi.



"Saya seronok dan bahagia sebab ini adalah fasa baharu dalam hidup saya. Sekarang, saya ada seseorang yang boleh membimbing selama 24 jam. Maksudnya, Sofea boleh menegur jika saya melakukan kesilapan dan sebagainya.


"Sebelum ini, ibu bapa menegur, tetapi ada isteri agak berbeza. Saya akui perjalanan baru ini seronok kerana apa sahaja urusan Sofea, saya perlu ada, begitu juga sebaliknya.


"Dalam pada itu, kami masih mencari keserasian dan mematangkan hubungan agar tiada benda yang tidak baik terjadi. Doa yang terbaik buat kami," katanya.


Haqiem berkata, keseronokan bergelar suami secara tidak langsung menepis sangkaan orang ramai bahawa berkahwin muda mengehadkan pelbagai perkara.


Sumber : Berita Harian

No comments:

Powered by Blogger.