"Soal curang letak tepi, punca utama masih terlalu muda" - Ismail Izzani kantoi curang enam kali?

encik gotenks
0

 


Mula mengenali hati budi sejak di bangku sekolah pada 2014, namun, bibit cinta antara penyanyi Ismail Izzani, 21, dan Shalma Eliana, 21, mekar empat tahun kemudian.


Namun, mengharapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perhubungan selama tujuh tahun terlerai tanpa diduga selepas mempunyai perancangan membawa hubungan ke peringkat lebih serius.

Menerusi program Melodi di TV3, Ismail membuat pengumuman mengejutkan apabila mengesahkan perpisahannya dengan Shalma ketika mempromosikan filem Dendam Penunggu.


Ketika ramai mengharapkan cinta antara anak penyanyi popular era 1980-an, Datin Suliza Salam itu bersama Shalma bakal berakhir dengan ikatan suci, namun, ketentuan takdir memisahkan mereka.


Mengulasnya, penyanyi lagu Luar Biasa itu berkata, hubungan cintanya sudah berakhir.


"Saya dan Shalma memilih membawa haluan hidup masing-masing. Saya mempunyai banyak perkara yang ingin diterokai. Lagipun, banyak benda berlaku, jadi saya memerlukan ruang untuk mencari diri sendiri.


"Saya mengakui pernah melakukan kesilapan. Saya memburukkan keadaan, namun, saya tidak mahu cakap saya kini belajar dari kesilapan.


"Ketika ini, saya mahu fokus kepada diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling yang banyak memberikan semangat," katanya kepada BH Online.


Ditanya sejauh mana kebenaran cincin berlian tanda janji setia yang dihadiahkan kepada Shalma dibuang, Ismail berkata, dia dan Shalma bersepakat membuangnya ke dalam sungai.


"Ada satu perkara yang terjadi kepada cincin itu. Saya dan Shalma pergi berkhemah bersama beberapa rakan.


"Semasa di sungai, saya cakap dengan Shalma, apa kata kita buang sahaja cincin ini. Itulah detiknya. Ia mungkin momen yang sukar buat kami, tetapi hikmahnya, menjadikan Shalma lebih bermotivasi," katanya.


Ismail berkata, dia dan Shalma mengenali dalam tempoh yang agak lama, jadi sudah tentu masih menyayanginya.


"Shalma cukup bermakna dalam hidup saya, malah banyak mengajar dan mengubah diri saya menjadi insan lebih baik," katanya ringkas.


Diasak pertanyaan adakah bermaksud dirinya curang hingga menyebabkan perpisahan, Ismail berkata, soal curang letak ke tepi, punca utama mereka masih terlalu muda.



"Jadi, saya kini ingin fokus pada keluarga dan kerjaya.


"Saya gembira melihat Shalma kini menjadi lebih positif dan banyak meluangkan masa bersama keluarga serta melakukan aktiviti bersama rakan-rakannya.


"Setakat ini, saya tidak nampak jalan untuk kembali ke pangkuan Shalma.


"Selagi belum bersedia, saya tidak akan kembali pada Shalma. Lagipun, saya penat membuktikan saya tidak mahu mengulangi kesilapan lagi.


"Saya juga penat menyakiti hati sesiapa. Ini adalah masa untuk saya mencari diri sendiri. Seandainya sudah bersedia, saya pasti menyayanginya semula," katanya.


Sumber : Berita Harian

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)