Header Ads

Afieq Shazwan terkilan hasrat kahwin muda tak kesampaian

 


Pelakon dan penyanyi, Afieq Shazwan, 24, pernah berhasrat mahu berkahwin muda sebelum ini dengan wanita berusia 28 tahun tetapi impian itu musnah.


Afieq berkata, dia yang sudah beberapa kali ditolak wanita dan gagal dalam perhubungan cinta, bagaimanapun tidak patah hati dan berasa serik.


"Ini kerana rezeki jodoh belum sampai. Saya sekarang mengikut arus saja apa yang ditetapkan Allah dalam hidup ini. Kalau jodoh sampai cepat, saya akan kahwin tapi jika belum lagi pun tak mengapa. Apapun, persediaan untuk diri sendiri sudah saya lakukan.



"Ini kerana sebagai lelaki dan bakal menjadi ketua keluarga, saya selalu diingatkan untuk mempersiapkan diri dari pelbagai sudut kerana tanggungjawabnya besar nanti. Apapun, urusan jodoh ini kerja Allah dan biar Dia yang tentukan," katanya.


Afieq yang kini tampil dengan drama Diari Seorang Suami di TV3 berkata, dia melihat dalam ikatan perkahwinan sebenarnya paling utama adalah persefahaman, kematangan dan sesama pasangan tahu mengawal ego.


"Untuk saya, berkahwin pada usia muda pun tak salah juga, namun sesama pasangan kena ada persefahaman. Sama ada suami atau isteri, perlu seiring bersama-sama dalam segala hal dan tidak terlalu ego," katanya.


Melakonkan watak Hairi yang berkahwin muda ketika berusia 19 tahun dalam drama itu, Afieq berkata, dia kini berhadapan kecaman netizen kerana kahwin lari tanpa restu keluarga.



"Rentetan dari drama ini, saya dimarahi seorang makcik ketika menjayakan satu persembahan di Pulau Pinang, baru-baru ini kerana dia geram dengan Hairi yang sanggup bawa lari anak gadis orang untuk berkahwin.


"Saya hanya berlakon saja watak itu dan realitinya berbeza. Saya pun tak tahu jodoh akan sampai bila dan sudah tentu tidak akan kahwin lari kerana restu ibu bapa sangat penting," katanya.


Drama Diari Seorang Suami sudah ditayangkan mulai 12 November lalu di slot Lestary, jam 9 malam dari Rabu hingga Sabtu, menggandingkan Afieq dengan Yuna Rahim sebagai watak utama pasangan berkahwin muda.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.