Kami terlepas cakap, harimau betul-betul muncul depan mata, kata Mohd Shahrum

encik gotenks
0

 


"Tak sangka, baru sahaja kami terlepas cakap dan tak lama kemudian, betul-betul terserempak dengan Pak Belang," kata Mohd Shahrum Salleh, 36.


Mohd Shahrum berkata, dia dan isterinya, Nurhidayahlaily Su'alman, 32, melalui Jalan Jemaluang menuju ke Tenggaroh pada 8 pagi hari ini bagi melakukan perkhidmatan sanitasi.


"Waktu itu hujan gerimis, memang kami tergamam dan saya terus memberhentikan kereta, apabila saya cuba jalan (pandu kereta), harimau itu bangun.


"Kemudian harimau itu melintas, memang berderau daarah melihat fizikalnya yang besar dan badannya yang melayut menjejak jalan.



"Dalam masa kira-kira dua minit itu, kami memang cemas, isteri yang sempat merakam gambar pun terketar-ketar dan selepas hilang dari pandangan, saya segera bergerak meninggalkan kawasan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurutnya, dia kerap menggunakan laluan itu untuk bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lalu dan itu adalah kali pertama mereka mengalami pengalaman itu seumur hidup.


"Biasanya memang kami suka memberi monyet liar makan roti atau pisang di tepi Jalan Jemaluang itu, kalau nak kata gajah itu biasa kami nampak.


"Patutlah sejak empat hari lalu tidak kelihatan monyet di tepi jalan itu, rupa-rupanya ada Pak Belang di situ," katanya.



Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminudin Jamin ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu.


Pada 20 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan mengenai rakaman video harimau belang (panthera tigris) yang didakwa ditemui beberapa individu ketika menaiki pacuan empat roda di Hutan Simpan Lenggor, Kluang.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)