Header Ads

SaIah faham punca warga asing beramai-ramai datang serbu PPV Rumah Prihatin@Grand Seasons

 


Kehadiran orang ramai di Rumah Prihatin@Grand Seasons di Jalan Pahang, hari ini berpunca dari salah faham dan berita kononnya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkenaan menyediakan perkhidmatan daftar terus (walk-in) untuk bukan warganegara.


Pengurusan Rumah Prihatin@Grand Seasons dalam kenyataan berkata, pengambilan vaksin secara daftar terus untuk warga asing adalah di PPV Bukit Jalil.


"Akibat salah faham berkenaan berlaku 'rush crowd' luar biasa di luar jangkaan pengurusan dan penguatkuasa. Di peringkat awal, pihak Rumah Prihatin mengambil tindakan bersama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyuraikan keadaan, namun warga asing ini tetap tidak mahu bersurai, walaupun diberikan arahan dan amaran.



"Keadaan kembali diperbetulkan dengan bantuan PDRM dan DBKL. Program vaksinasi ini diuruskan oleh Rumah Prihatin di bawah Program Vaksinasi MyMedik@Wilayah dan tidak membabitkan mana-mana pihak lain," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, Rumah Prihatin kesal dengan kejadian berkenaan dan akan meningkatkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan kejadian ini tidak berulang lagi.


"Kami ingin menegaskan bahawa Rumah Prihatin hanya menerima pendaftaran terus untuk warganegara Malaysia sahaja, dengan keutamaan kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya, kelompok terpinggir dan golongan rentan sahaja," katanya.



Terdahulu, tular tiga video memaparkan sekumpulan individu bersesak di PPV berkenaan sehingga menimbulkan rasa kurang senang warganet.


Rakaman video itu dirakam seorang individu sebelum dimuat naik di Instagram melahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku.


Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pihak penguat kuasa memastikan keadaan pekerja asing bersesak-sesak di PPV Rumah Prihatin Hotel Grand Season dan PPV Bukit Jalil yang tular di media sosial hari ini, tidak berulang lagi.


Ismail Sabri dilaporkan berkata, beliau sendiri terkejut apabila melihat video tular terbabit hari ini yang penuh berpusu-pusu sehingga mengabaikan SOP.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.