Remaja 13 tahun impi cipta rekod tinggal dengan ular sempena Hari Kebangsaan

Anonymous
0

 


Balik Pulau: "Bukan sahaja mahu mencabar keberanian diri, saya juga mahu memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menyayangi haiwan terutama ular yang lazimnya digeruni." kata Adam Harith Mohd Ridzuan, 13, yang mahu mencipta rekod peribadinya dengan tinggal bersama lima ular sawa dalam sebuah bilik selama enam jam 40 minit pada 31 Ogos ini sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-64.


Adam Harith berkata, sepanjang tempoh berkenaan, dia akan membaca buku, menyiapkan kerja sekolah atau bermain permainan video bagi mengisi masa lapang.


"Sejak kecil, saya sudah biasa bermain dengan haiwan peliharaan bapa ini dan tahu serba sedikit mengenai tingkah lakunya.



"Untuk tinggal dalam bilik kecil bersama ular berkenaan memang perlukan keberanian namun paling penting, saya mahu mengajak generasi muda supaya sayangkan haiwan," katanya ketika ditemui di Jalan Imam Haji Harun di sini, hari ini.


Pada 31 Ogos ini bermula jam 8 pagi, Adam Harith dijangka ditemani ular sawa batik 'reticulated phyton' dan 'burmese phyton' yang berusia tiga hingga 18 tahun.

Kelima-lima ular sawa berkenaan mempunyai berat antara 100 hingga 300 kilogram dan sepanjang kira-kira tiga hingga lapan meter.

Sementara itu, Mohd Ridzuan Abdullah Zawawi, 37, berkata, ilham bagi mencipta rekod berkenaan adalah keinginan anaknya sendiri.


Katanya, biarpun akan 'dikurung' dengan reptilia itu, dia sudah membuat persiapan rapi dalam aspek keselamatan selain menggandakan pemantauan pada hari berkenaan.


"Sebenarnya ular ini, jika kita tahu kaedah menjaga atau menyediakan tempat tinggalnya dengan baik, ia akan menjadi haiwan yang jinak dan mudah dibela.



"Namun seperti membela haiwan lain, kita juga perlu perhatikan tingkah laku ular itu kerana adakalanya ia juga boleh berasa tidak selesa atau tertekan dengan keadaan sekitar," katanya yang bekerja sendiri.


Mohd Ridzuan mempunyai hobi membela reptilia itu sejak kecil dan kini mempunyai 18 ular pelbagai jenis.


Antara ular sawa kesayangannya diberi nama Cik Kiah seberat 300 kilogram manakala Joyah dan Kak Timah pula masing-masing seberat 100 kilogram.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)