Bagaimana kami nak jual durian? tanya pekebun durian

Anonymous
0

 

Gambar hiasan

Bagaimana nak jual buah durian yang luruh kerana kawasan kami dikenakan PKPD?”


Itu keluhan pemilik kebun durian di empat buah kampung di Ulu Selama dekat sini, yang terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari sehingga 9 Ogos ini.


Ia melibatkan Kampung Teluk Mas, Sungai Siputeh, Garok dan Kampung Tapah.


Pekebun durian, Nazeri Mokhtar, 45, berkata, dia tidak tahu bagaimana mahu menjual buah durian kepada pembeli atau peraih luar disebabkan PKPD yang dilaksanakan di kawasannya.

“Buah rosak begitu sahaja menyebabkan saya mengalami kerugian apatah lagi harga durian semakin murah iaitu daripada RM5 sekilogram kini RM1.50 sekilogram,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.


Peraih durian, Shafie Awang Mat , 68, pula berkata, PKPD menyebabkan dia tidak dapat masuk ke kawasan kampung terlibat untuk membeli buah durian daripada penduduk.


Menurutnya, dalam sehari dia membeli kira-kira satu tan metrik durian di kawasan kampung di Ulu Selama yang terkenal dengan penghasilan buah durian berkualiti tinggi.


“Saya berharap peraih dan pekebun diberikan kelonggaran memasarkan hasil walaupun di sini dikenakan PKPD,” katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd. Akmal Kamarudin meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada peraih untuk membeli durian dari kawasan terlibat PKPD.



Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri berkata, empat lokaliti di Mukim Ulu Selama yang terlibat PKPD itu adalah antara tempat pengeluar durian yang terbesar di Selama.


“Pekebun durian menanti masa hampir setahun untuk mendapatkan hasil durian mereka dan ketika saat buah -buah itu rancak mengeluarkan hasilnya, empat lokaliti itu terpaksa menjalani PKPD,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)