Budak 3 tahun lumpuh akibat kecuaian hospital menang saman RM5.6 juta

0

 





Mahkamah Tinggi mengarahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dibayar pampasan RM5.6 juta atas kecuaian perubatan sebuah hospital kerajaan hingga mengakibatkan mangsa lumpuh.


Nur Adeena Mohd Syahmir yang dilahirkan pada 12 Mei 2020 melalui pembedahan Caesarean mengalami kecederaan saraf tunjang berikutan komplikasi pembedahan yang menyebabkannya lumpuh dari leher ke bawah.


Kanak-kanak itu selaku plaintif melalui bapanya menfailkan saman kecuaian perubatan terhadap 19 defendan terdiri daripada kerajaan Malaysia dan 18 pegawai perubatan yang bertugas di sebuah hospital kerajaan.




Akibat kecuaian itu, ketika ini, plaintif bergantung kepada ventilator dan juga dipasang trakeostomi (tebukan pada leher).


Berdasarkan dokumen diperoleh media, defendan pertama (kerajaan Malaysia) mengakui liabiliti pada 26 Julai 2022 menyebabkan plaintif menarik balik semua tuntutan terhadap defendan kedua hingga ke-19.


Perbicaraan diteruskan untuk penilaian ganti rugi dan berlangsung selama dua hari di mana plaintif memanggil dua saksi iaitu ibu plaintif dan saksi pakar Dr Kavitha manakala defendan pertama memanggil saksi pakar S Mohaneswari.




Siasatan mendapati pegawai perubatan yang bertugas tidak mempunyai pengalaman melakukan pembedahan dan ia dilakukan tanpa pengawasan pakar perbidanan dan sakit puan.


Dalam keputusannya pada Isnin, Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, tiada jumlah wang yang dapat mengurangkan kesakitan dan penderitaan kanak-kanak itu.


"Mahkamah berpandangan bahawa jumlah ganti rugi yang diberikan perlu sebagai pampasan untuk perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung oleh penjaga dalam menjaga plaintif yang kurang upaya," tambahnya.




Katanya, mahkamah mempertimbangkan keterangan daripada doktor pakar bahawa kanak-kanak itu berkemungkinan hidup sehingga usia 23 tahun berdasarkan keadaannya.


Mahkamah memutuskan kanak-kanak itu berhak mendapat pampasan yang mencukupi sepanjang hayatnya.


Dalam penghakiman itu juga, mahkamah juga berpendapat plaintif berumur dua tahun perlu diberi pampasan yang mencukupi untuk menampung baki jangkaan hayatnya 21 tahun lagi.


tamat


Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)