Penyanyi Fieya Julia telah mendedahkan bahawa dia pernah mengalami fasa kemurungan akibat kurang mendapat tawaran kerja dan tekanan kewangan yang terpaksa ditanggung.
Fieya, atau nama sebenarnya Nur Syafiyah Sejali, 24, berkata bahawa pandangan dan harapan orang sekeliling terhadapnya juga menyebabkan dia merasa tertekan dan menyebabkan emosinya terjejas.
“Saya tertekan sebab perlu jalani hidup jauh dengan keluarga di Kuala Lumpur. Banyak benda nak kena fikir terutamanya melibatkan wang. Job pun tidaklah banyak sangat.
“Jadi keadaan tiada duit itu membuatkan saya terlalu berfikir sehingga memberi kesan kepada diri sendiri. Memanglah ada kawan, tetapi saya tidak boleh nak teruskan harapkan pertolongan orang.
“Dalam sama selepas saya bertudung ramai yang terlalu mengharapkan saya menjadi seorang yang lebih baik sedangkan saya masih lagi belajar ke arah itu. ia juga menjadi punca saya tertekan,” katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.
Penyanyi lagu Perasaanku, Fieya sebelum ini telah memaklumkan pengalaman kemurungannya menerusi beberapa hantaran di Instastory miliknya.
Selain itu, Fieya turut mendedahkan bahawa dia pernah hilang dari rumah sehingga salah seorang rakannya terpaksa memanggil pihak bomba untuk membantu membuka pintu rumahnya.
“Kejadian itu berlaku pada Disember tahun lalu. Saya hilangkan diri sehari sehingga kawan-kawan mula risau dan mereka panggil bomba untuk periksa keadaan saya kerana bimbang saya melakukan perkara yang boleh memudaratkan diri. Tetapi saya saya sempat buka pintu sebelum bomba pecah masuk.
“Sebenarnya ketika itu saya betul-betul nak healing dan mahu bersendiri. Malah apabila bomba datang pun saya rasa nak marah sebab privasi terganggu,” ujarnya.
Bagaimapun kata Fieya dia cuba untuk aktif dalam dunia penstriman untuk lari dari masalah tekanan selain mahu mencari duit menampung kehidupan.
Syukur bila dah mula main game penstriman, ada juga pendapatan. Namun masih ada yang kecam sebab kononnya saya ini artis dan boleh jejaskan pendapatan orang lain.
“Saya sendiri pun susah nak cakap dengan pandangan orang ini. Mungkin juga sebab saya introvert dan susah nak berkomunikasi dengan orang menyebabkan berlaku tekanan,” jelasnya.
Sumber : mStar Online