Kabinet setuju bagi kerakyatan automatik kepada anak lahir di luar negara

0

 


PENAFIAN : GAMBAR SEKADAR HIASAN


Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.


Keputusan ini telah dibuat semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan di Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, mengumumkan perkara ini dalam satu kenyataan bersama semalam.



Dalam kenyataan tersebut, kedua-dua menteri menyatakan bahawa keputusan ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan antara wanita dan lelaki dan menghapuskan diskriminasi terhadap wanita di negara ini.


Kerajaan juga berkomitmen untuk mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan dan menyelesaikan kes tertunggak bagi wanita yang terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka. Ini dilakukan melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan tidak munasabah.


Keputusan itu sekali gus memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.


"Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dan Kementerian Dalam Negara (KDN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Kabinet, kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak.


"Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya' bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan.



"Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 seterusnya dijangka akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen ini, setelah memenuhi kehendak undang-undang.


"Kesan daripada keputusan hari ini (semalam) adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia, berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan," kata menteri berkenaan.


Pada masa sama, Saifuddin dan Azalina berkata pindaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahaigan III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan dibawah KDN.


Jelasnya, perkara itu akan dibentangkan Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan berkenaan dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak berkepentingan.


SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE






Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)