Johor warta fatwa larang umat Islam sertai ritual agama lain, kata Mohd Fared Mohd Khalid

0

 


Kerajaan negeri akan mewartakan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam dalam masa terdekat, bagi membolehkan umat Islam di Johor mempunyai garis panduan sebelum menyertai sesuatu majlis perayaan agama bukan Islam.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata fatwa yang diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) minggu hadapan, bagi mendapatkan kelulusan sebelum diwartakan.



Beliau berkata, garis panduan itu difatwakan selepas melihat kebiasaan umat Islam apabila tibanya sesuatu perayaan bukan Islam dan bertujuan memberi pendidikan serta kesedaran supaya larangan tidak terus diamalkan secara berleluasa.


"Melalui pemerhatian dan makluman orang awam, seperti menjadi kebiasaan perayaan penganut agama bukan Islam dihadiri atau turut diraikan umat Islam.


"Oleh itu, menjadi tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) membuat ketetapan sebagai usaha meningkatkan kefahaman berhubung Islam," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa merangkap Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, Baharin Jalal.


Mohd Fared berkata, umat Islam dibenar memenuhi undangan keraian perayaan bukan Islam, namun dilarang terbabit dengan upacara ritual berkait amalan agama terbabit.


"Mengikut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan ke majlis perayaan bukan Islam adalah harus dan dibenarkan, contohnya rumah terbuka atau majlis makan malam.


"Penganjur majlis perayaan bukan Islam haruslah peka dan memastikan sensitiviti umat Islam dihormati selaras kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama rasmi Johor.


"Namun demikian, masyarakat Islam dilarang menyertai upacara ritual perayaan bukan Islam, termasuk di rumah ibadat agama berkenaan atau tempat lain," katanya.


Katanya, ada empat perkara dalam garis panduan berkenaan yang menyatakan majlis dihadiri umat Islam itu tidak disertakan dengan upacara bertentangan akidah Islam, bertentangan syarak, bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya serta menyentuh sensitiviti umat Islam.


Mohd Fared berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ketua keagamaan dan pengurus rumah ibadat bukan Islam.


"Kita bukan bermaksud menjarakkan keharmonian kaum dan agama, sebaliknya panduan ini supaya umat Islam tidak terjerumus dengan perbuatan melanggar syarak tanpa disedari," katanya.


Beliau berkata, selepas fatwa berkenaan diwartakan, individu yang melanggar garis panduan berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.


Sumber : Berita Harian Onlie

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)