Harga Durian Ikut Jenis Kereta, Taktik Licik Segelintir Peniaga Durian Kaut Keuntungan Berganda

0

 


ADA peniaga durian tepi jalan dipercayai menjadikan kenderaan pelanggan yang singgah sebagai kayu pengukur untuk meletakkan harga pada raja buah yang dijual.


Faktor itu dipercayai menyebabkan mereka tidak meletakkan tanda harga pada produk jualan mereka walaupun mengetahui ia kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, ada peniaga durian mengambil kesempatan menjual pada harga berbeza mengikut model kenderaan pelanggan.


Katanya, sebagai contoh harga durian naik dua hingga tiga kali ganda apabila pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah, mereka sanggup berbuat demikian bagi mengaut keuntungan berlipat ganda.


Menurutnya, permintaan yang tinggi terhadap raja buah itu mendorong peniaga mengambil kesempatan itu.



"Justeru bagi memastikan peniaga tamak tidak terus mengambil kesempatan, KPDNHEP sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap semua pusat jualan durian tepi jalan di Kuantan, Jerantut, Bentong, Lipis, Raub dan Temerloh.


"Kita akan mengenakan kompaun RM1,000 mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, sekiranya peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga," katanya dihubungi hari ini.


Beliau berkata, kesalahan lain turut dilakukan peniaga ialah menggunakan alat timbang tidak ditentusah yang boleh dikompaun RM1,000 bagi orang perseorangan dan perkongsian, manakala RM2,000 untuk syarikat dan perbadanan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1973.



Ahmad Fitri berkata, empat peniaga durian dikenakan kompaun RM4,000 kerana kesalahan gagal mempamerkan tanda harga termasuk menggunakan alat tidak ditentusah.


"Satu kes gagal mempamerkan tanda harga berlaku di Jerantut dan tiga kes menggunakan alat tidak ditentusah di Kuantan.


"Menerusi operasi dilaksanakan, sebanyak 72 pemeriksaan dilakukan di Rompin, Temerloh , Jerantut dan Kuantan," katanya.


Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)