(VIDEO) Isteri pertama jaga suami sakit, isteri kedua sara keluarga

0

 


"Mereka berdualah hidup dan mati saya," kata Maaroof Noordin, 58, mengenai isteri pertamanya, Noraini Ishak, 42, dan isteri kedua, Effa Rizam Abd Ghafar, 42.

Selain dapat menzahirkan rasa cinta kepada Maaroof, dua isterinya, Noraini dan Eff Rizam, kini menjadi penjaga setia kepada mereka yang sakit walaupun menghadapi kesukaran.


Maaroof mendakwa selepas kehilangan kaki kirinya akibat kencing manis Oktober lepas dan tidak dapat meneruskan kerja sebagai tukang rumah, mereka bertiga mengalami perubahan dalam cara hidup mereka.


"Isteri keduanya, Eff Rizam kini terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga dengan bekerja sebagai tukang kebun di sebuah kilang di Gebeng dengan gaji RM1,500 sebulan.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Cherating Lama hari ini, beliau mendakwa, "Isteri pertama (Noraini) menjaga rumah termasuk menjaga keperluan saya."

Dia berkahwin dengan Noraini pada 2007 dan sudah hampir lima tahun berpoligami selepas mengahwini Effa Rizam pada 2018, namun tidak dikurniakan anak bersama kedua-dua isterinya itu.


Sementara itu, Effa Rizam berkata, dia dan madunya sudah membahagikan tanggungjawab masing-masing selepas suami mereka kehilangan kaki kiri yang terpaksa dipotong.

"Namun dengan pendapatan sekarang memang tak cukup, sewa rumah dan bil api air juga sudah dua bulan tertunggak. Untuk kos rawatan suami termasuk barang keperluan dan belanja ulang alik ke hospital sahaja sudah cecah RM600 sebulan," katanya.


Terdahulu, nasib keluarga terbabit mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO), Amal Team yang memberikan sumbangan berupa katil, kerusi roda serta barangan keperluan harian termasuk makanan.


Mengenai penyakitnya, Maaroof berkata, dia disahkan menghidap kencing manis pada 2021 dengan petanda awal apabila bahagian kaki sebelah kiri membengkak digigit semut, tetapi pulih tidak lama kemudian.


"Selepas itu, bahagian sama digigit nyamuk dan pemeriksaan lanjut mendapati saya menghidap penyakit kencing manis peringkat empat. Kemuncaknya pada Oktober lalu apabila doktor menasihatkan saya memotong kaki bagi mengelak masalah ke bahagian lain," katanya.


Bagi membantu meringankan beban keluarga itu, Pemudah Cara Amal Team yang turut berperanan dalam Briged Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jamilah Salleh, berkata pihaknya sudah memanjangkan kes berkenaan kepada MUIP untuk bantuan selanjutnya.


"Daripada siasatan yang kami lakukan, keluarga ini tergolong dalam kategori asnaf dan layak menerima bantuan berkaitan. Sekarang kami sedang mengusahakan bantuan 'one-off' untuk keluarga ini bagi menyelesaikan tunggakan sewa dan bil. Bantuan bulanan daripada MUIP masih dalam proses," katanya

Sumber : Berita Harian Online

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)